Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem seram Talbis Iblis diharamkan di Brunei

Anggaran Waktu Membaca:
Filem seram Talbis Iblis diharamkan di Brunei

(Gambar: infinitusfilmsmy/Instagram)

Diterbitkan : 19 Oct 2022 09:55AM Dikemas Kini : 19 Oct 2022 10:00AM
BRUNEI: Filem seram Talbis Iblis diharamkan daripada menemui penonton di Brunei pada 20 Oktober selepas gagal melepasi syarat penapisan filem bagi tayangan di negara itu.

Bercakap kepada agensi berita Malaysiakini, Penerbit Eksekutif Infinitus Productions Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, mengesahkan perkara tersebut.

“Ada beberapa punca. Antaranya kerana mengandungi ritual menghidupkan kembali bayi yang sudah mati sekali gus dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi pada Selasa (18 Okt).

Bagaimanapun, Gayatri berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan berlapang dada.

Menurutnya, setiap negara memang mempunyai syarat tapisan filem yang berbeza-beza sebelum meluluskan karya yang hendak memasuki pasaran mereka.

“Kita perlu terima seadanya kerana setiap negara mempunyai undang-undang berbeza berhubung tapisan filem,” jelasnya, dipetik oleh Malaysiakini.

Sebelum ini, catatan di akaun Instagram 'Times Cineplex Brunei' memaklumkan filem Talbis Iblis diharamkan daripada tayangan di pawagam negara itu kerana tidak lulus syarat tapisan filem.

“Maaf, Talbis Iblis tak akan ditayangkan di sini berikutan tidak lulus tapisan filem,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di Instagram.

Pengumuman tersebut ternyata mengundang perasaan kecewa peminat terutama yang sudah lama ternanti-nanti untuk menonton kemunculan semula pelakon Nasha Aziz.

“Aduh, sudah lama menantikan filem ini. Lama tidak lihat filem terbaru lakonan Nasha Aziz. Apa boleh buat,” komen salah seorang netizen.

Bagaimanapun, menurut Gayatri, Talbis Iblis bukanlah satu-satunya filem terbitan syarikatnya yang diharamkan di Brunei.

Sebelum ini, katanya, sebuah lagi filem dihasilkan bersama Astro Shaw turut menerima nasib yang sama.

“Hoorey Hoorey juga terkena nasib sama. Tapi saya OK saja. Bagi saya, tidak lulus tayangan bukan isu,” lapor Astro Awani.

Selain Nasha Aziz, filem arahan Kabir Bhatia itu turut dijayakan oleh pelakon Azira Shafinaz dan Zul Ariffin. Ia dijadual ditayangkan di pawagam Malaysia pada tarikh sama seperti di Brunei.

Untuk rekod, selain Talbis Iblis, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei pada 23 Ogos 2016 dalam satu kenyataan mengumumkan, filem Pekak juga tidak diluluskan tayangannya.

Filem arahan Khairul Azri Mohd Noor atau Kroll Azry itu tidak diluluskan kerana tiada unsur pendidikan serta membawa pengaruh buruk kerana memaparkan adegan menghisap dadah, penjualan dadah, pergaulan bebas, keganasan dan wanita menghisap rokok.

Filem Tujuh arahan Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin juga tidak diluluskan kerana pihak penapisan filem negara itu memberikan alasan karya tersebut mengandungi unsur tidak bermoral.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan