Filem 'The Odyssey' kutip AS$264.1 juta pada hujung minggu pembukaan
Matt Damon sebagai Odysseus dalam filem The Odyssey arahan Christopher Nolan. (Gambar: Universal Pictures menerusi AP/Melinda Sue Gordon)
Daripada jumlah itu, AS$124.5 juta (S$160.8 juta) diperolehi menerusi jualan tiket di Amerika Syarikat dan Kanada.
Diadaptasi daripada puisi epik Yunani purba karya Homer, filem itu menampilkan Matt Damon sebagai wira Yunani, Odysseus, yang mengharungi pelbagai cabaran untuk pulang ke tanah air selepas Perang Trojan.
The Odyssey merupakan filem pertama Nolan sejak kejayaan Oppenheimer pada 2023, yang memenangi beberapa Anugerah Akademi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
Presiden Pengedaran Teater Universal bagi Amerika Utara, Jim Orr, berkata sambutan penonton terhadap The Odyssey amat memberangsangkan.
Menurut data Rentrak, filem itu menduduki tangga teratas carta kutipan hujung minggu di Amerika Utara dan seluruh dunia.
Separuh daripada pembeli tiket terdiri daripada penonton berusia antara 18 hingga 34 tahun.
Filem berkenaan menelan kos penerbitan sekitar AS$250 juta (S$322.97 juta) dan menerima penarafan A daripada CinemaScore, selain memperolehi skor penonton sebanyak 97 peratus di Rotten Tomatoes.
Dari segi kutipan hujung minggu pembukaan yang diselaraskan mengikut inflasi, The Odyssey menjadi filem ketiga terbesar dalam kerjaya Nolan, di belakang The Dark Knight Rises (2012) dan The Dark Knight (2008).
Permintaan terhadap tiket IMAX begitu tinggi sehingga lebih 50 pawagam di Amerika Utara menambah waktu tayangan antara tengah malam hingga 7.00 pagi.
Ketua Pegawai Eksekutif IMAX, Richard Gelfond, berkata syarikat itu merekodkan jualan awal tiket berjumlah AS$50 juta (S$64.59 juta), sekali gus menjadi jualan prapesan tertinggi dalam sejarah IMAX.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.