Filem Mat Kilau raih kutipan RM39.2 juta dalam 10 hari
Filem pecah panggung 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' berjaya meraih kutipan RM39.2 juta (S$12.4 juta) dalam masa 10 hari ia ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.
(Gambar: Adi Putra/Instagram)
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7.3 juta (S$2.3 juta) dikumpul hanya daripada tayangan di pawagam tiga negara itu pada Sabtu (2 Jul).
Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof, menyifatkan kutipan pada Sabtu itu sebagai sejarah dan fenomena luar biasa bagi industri perfileman Melayu.
"Masya-Allah... Ini semua adalah kuasa Allah," katanya dalam video yang dimuat naik di Instagram hari ini (3 Jul), seperti dipetik BH Online.
"Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei. Terima kasih kerana masih percaya sentuhan saya dan pasukan saya.
"Bukan hanya untuk filem ini, malah, semua hasil kerja saya selama ini. Akan ada banyak lagi (karya) menyusul selepas ini... Nantikan," kata beliau.
Diterbitkan Studio Kembara, kos pembikinan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu bernilai RM8 juta (S$2.5 juta), lapor BH Online.
Filem yang bertemakan agama, bangsa dan tanah air itu antara lain dijayakan pelakon Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Jalaluddin Hassan, Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Johan As'ari, Yayan Ruhian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.