Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem Mat Kilau bakal ditayangkan di Indonesia mulai 31 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Filem Mat Kilau bakal ditayangkan di Indonesia mulai 31 Ogos

Poster filem Mat Kilau. (Gambar: Syamsul Yusof/Instagram)

Diterbitkan : 12 Aug 2022 02:48PM Dikemas Kini : 12 Aug 2022 02:48PM
KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan fenomena luar biasa susuli tayangan filem bukan sahaja di seluruh Malaysia bahkan di Singapura dan Brunei baru-baru ini, filem "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan" akan ditayangkan di Indonesia bermula 31 Ogos nanti.

Pengarahnya Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof berkata filem itu menerima pelawaan daripada pawagam di negara jiran berkenaan untuk menayangkan Mat Kilau.

"Saya pun ada pengikut dari filem-filem saya sebelum ini di Indonesia. Munafik 2 terutamanya kerana filem Munafik 2 adalah filem Melayu yang paling tinggi kutipannya di Indonesia," katanya dalam satu kenyataan yang ditukil daripada laporan portal Malaysia Now.

Penampilan Yayan Ruhain, seorang pelakon aksi dari Indonesia yang berjaya mencipta nama di Hollywood, di dalam filem Mat Kilau secara langsung juga menyumbang kepada permintaan tayangan di negara jiran tersebut, menurut Syamsul.

Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu menzahirkan rasa syukur terhadap pihak pawagam dan para penonton di Indonesia atas sokongan padu yang diberikan.

Filem itu bakal ditayangkan secara perdana selama empat hari sebelum ditayangkan kepada umum bermula 31 Ogos.

Namun, buat masa ini, pihak Syamsul dikatakan masih menjalankan perbincangan bersama industri pawagam di Indonesia.

Filem Mat Kilau yang diinspirasikan daripada sejarah benar tanah air Malaysia, berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM90 juta (S$28 juta) dalam tempoh 33 hari sejak ditayangkan pada 23 Jun di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Selain Yayan Ruhain, filem itu dibarisi ramai pelakon hebat lain antaranya Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Jalaluddin Hassan, Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty dan Khir Rahman.
Sumber : Agensi berita/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa