Filem Malaysia 'The Catcher', menjadi penerbitan paling mahal dalam sejarah perfileman tempatan
Diumumkan pada sesi sidang akhbar pada 4 Oktober 2021 ialah pelancaran filem paling mahal dalam sejarah perfileman Malaysia berjudul "The Catcher", dihasilkan melalui kerjasama Labuan Overseas Holding Berhad dan Robotz.

(Gambar: Agensi berita)
KUALA LUMPUR: Diumumkan pada sesi sidang akhbar pada 4 Oktober 2021 ialah pelancaran filem paling mahal dalam sejarah perfileman Malaysia berjudul "The Catcher", dihasilkan melalui kerjasama Labuan Overseas Holding Berhad dan Robotz.
Filem yang diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd. Filem yang bakal memecahkan rekod tempatan dan antarabangsa ini diterbitkan untuk meningkatkan industri pelancongan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik, dan seterusnya dapat merangsang pemulihan ekonomi.
"Kita akan memanfaatkan ciri-ciri sesebuah jenama yang tersendiri dan nilai sejarah perniagaannya untuk membangunkan harta intelek (IP) bersama dengan akreditiasi bernilai tinggi, berdasarkan jenama-jenama prestasi kereta lumba yang boleh dijadikan tarikan seperti jenama hotel, bandar automotif, stesyen minyak, taman tema dan sebagainya," kata Encik Ong Peng Chu, pengasas Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd.
Dengan bajet melebihi RM50 juta (S$16.26 juta), "The Catcher" memaparkan gaya hidup dan budaya pengubahsuaian kereta di Malaysia. Filem itu berkisar tentang seorang pemuda kampung yang bekerja keras mengalahkan pencabar-pencabarnya dari seluruh dunia yang menggunakan "supercar" yang diubahsuai. Filem itu juga memecahkan rekod dunia dengan menampilkan 500 buah "supercar" dalam filem ini.
Pengasas Robotz, Jeffrey Teoh berkata, “Supercar disukai oleh semua orang, dari pelbagai latar belakang. Sebagai peminat "supercar", kami di Robotz diinspirasikan oleh kejayaan francais filem "Fast & Furious" lakonan Vin Diesel dan Paul Walker, dan kami berharap untuk mengulangi kejayaan filem tersebut. Penglibatan dalam menghasilkan sejarah melalui filem yang memecahkan rekod ini memberikan kegembiraan dan kebanggaan kepada kami”.
Kesemua kereta yang digunakan dalam filem ini dimiliki oleh ahli-ahli kelab Robotz Car, yang turut menyumbangkan wang tunai dalam pengumpulan dana untuk filem ini. Semasa sidang akhbar ini juga, Labuan Overseas Holding Berhad memberi RM2 juta (S$649,000) sebagai modal permulaan tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Overseas Holding Berhad, Encik Burhanudin Mohd Yusoff berkata, "Projek yang amat menarik. Kami menyokong projek ini, bukan sahaja kerana ia akan memecah rekod, tetapi kerana tarikan nilai tambahan kepada para pelabur yang berpotensi.
"Kami teruja dengan pelancaran filem ini, dan kami menantikan untuk membangunkan perniagaan yang berpotensi besar untuk peluang pelaburan dalam industri permotoran, secara langsung dan tidak langsung, menuju untuk pemulihan ekonomi Malaysia," tambahnya.
Skrip untuk filem ini akan dimuktamadkan dan pencarian bakat bakal menyusul. Produksi untuk ‘The Catcher’ bakal bermula pada tahun 2022 dengan jangkaan siap pada tahun 2023 sebagai filem yang mempunyai bajet yang tertinggi di dalam sejarah Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.