Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem ikonik 'Ada Apa Dengan Cinta?' diberi nafas baharu sebagai filem muzikal

Nampaknya era 2000-an kembali popular. Hal tersebut juga berlaku dalam industri filem Asia.

Anggaran Waktu Membaca:
Filem ikonik 'Ada Apa Dengan Cinta?' diberi nafas baharu sebagai filem muzikal

Tangkapan skrin yang memaparkan adegan dari filem 'Ada Apa Dengan Cinta?' yang dibintangi Nicholas Saputra (kiri) dan Dian Sastrowardoyo. (Gambar: Miles Film)

Diterbitkan : 13 Mar 2025 03:08PM Dikemas Kini : 13 Mar 2025 03:09PM
INDONESIA: Nampaknya era 2000-an kembali popular. Hal tersebut juga berlaku dalam industri filem Asia.

Syarikat penerbitan Indonesia, Miles Films baru-baru ini mengumumkan barisan pelakon bagi filem muzikalnya berjudul 'Rangga & Cinta'.

Filem itu yang dijadual ditayangkan pada 2025 adalah filem muzikal yang diolah semula daripada filem ikonik 2002, berjudul 'Ada Apa Dengan Cinta?' yang dibintangi oleh pelakon Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo sebagai Rangga dan Cinta.

Filem asal mengisahkan tentang seorang gadis popular bernama Cinta yang meminati puisi. Beliau kemudian bertemu dengan Rangga, seorang lelaki pendiam dan penuh misteri yang turut menggemari puisi.

Apabila hubungan mereka berdua menjadi semakin rapat, hubungan Cinta dan rakan-rakannya pula kian menjadi renggang.

Semasa tayangan pertamanya, filem 'Ada Apa Dengan Cinta?' mendapat sambutan hangat di seluruh Asia dan menjadi filem Indonesia terlaris pada 2002, meraih hasil kutipan sebanyak AS$10 juta (S$13.3 juta) di seluruh dunia.

Filem tersebut turut menghasilkan filem susulan pada 2016, di mana ramai pelakon asal kembali menjayakan watak masing-masing.

Filem 'Rangga & Cinta' akan menampilkan pelakon El Putra Sarira sebagai Rangga dan Leya Princy sebagai Cinta, dengan Nicholas Saputra sebagai penerbit bersama.

Barunson E&A – syarikat Korea Selatan yang menghasilkan filem 'Parasite', yang merangkul Anugerah Academy – turut menjadi pelabur bersama filem tersebut dan akan membantu dari segi jualan antarabangsa.

Dalam satu sidang media baru-baru ini, pelakon El Putra Sarira berkata bahawa peluang memainkan watak Rangga adalah “satu penghormatan besar”.

Pelakon Leya Princy pula berkata: “Kali pertama saya menonton 'Ada Apa Dengan Cinta?', saya sangat kagum dengan lakonan Dian sebagai Cinta. Jadi, saya hanya boleh berharap yang terbaik. Mudah-mudahan semua akan menyukai filem ini.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan