Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem 'Anwar: The Untold Story' raih kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan

Anggaran Waktu Membaca:
Filem 'Anwar: The Untold Story' raih kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan

Poster filem 'Anwar: The Untold Story'. (Gambar: Instagram/ Farid Kamil)

KUALA LUMPUR: Filem 'Anwar: The Untold Story' mencipta sejarah sebagai filem biopik pertama yang mencatat kutipan RM1 juta (S$296,220) pada hari pertama tayangan, pada Khamis (18 Mei), lapor BH Online.

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, filem sepanjang 108 minit yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia.

Pengedar rasmi filem tersebut, DMY Creation, mengesahkan kutipan RM1 juta diperoleh pada hari pertama tayangan.

Ini meskipun filem itu bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.

Pengerusi DMY Creation Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

"Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa.

"Lebih menggembirakan, rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.

"Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

"Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa diterima.

"Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

"Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami menyasarkan kutipan tinggi untuk filem ini," katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut mengenai filem 'Anwar: The Untold Story', Encik Zunar berkata, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pihak pawagam.

"Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini," katanya.

Mengenai harapannya terhadap filem 'nwar: The Untold Story', beliau berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai.

"Anwar: The Untold Story ini adalah genre yang jarang ada di Malaysia kerana ia membongkar kebenaran dan apa yang berlaku pada 1988.

"Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri," katanya lagi kepada BH Online.

'Anwar: The Untold Story' turut menyaksikan penyanyi tersohor Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu.

Filem itu dibintangi Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

'Anwar: The Untold Story' mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan