Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem 'Anwar, The Untold Story' bakal temui penonton Mei ini

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Filem 'Anwar, The Untold Story' yang mengisahkan ranjau politik Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara secara rasmi Mei ini.

Penerbit Eksekutif filem berkenaan Zukiflee Anwar Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, berkata filem itu digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Encik Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga beliau dipecat pada 1998.

“Cerita dalam filem ini versinya daripada Anwar sendiri, ada juga versi yang jarang didengari oleh rakyat Malaysia dan daripada domain awam tetapi yang terpendam, contohya cerita laporan siasatan lengkap beliau ketika dalam lokap.

“Sama ada ini diterima sebagai kebenaran, terpulang kepada penonton tetapi kami telah berusaha semaksimum mungkin mengambil cerita-cerita yang tercatat dalam perundangan dan hasil temu bual dengan orang yang terlibat,” katanya pada sidang media filem itu pada Rabu (1 Mac).

Filem yang mendapat sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal Malaysia antaranya Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar, dan Hasnul Rahmat (Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Selain Malaysia, filem itu turut menjalani penggambaraan di Indonesia dengan kos sebanyak RM10 juta (S$3 juta).

Mengulas lanjut, Zunar berkata hasrat menerbitkan filem itu bukan dibuat selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 sebaliknya idea tersebut sudah ada sejak 20 tahun lepas ketika awal gerakan reformasi.

“Sebenarnya, saya sendiri mencatatkan cerita perjuangan Anwar sejak reformasi lagi dan saya memang ada hasrat untuk ia dijadikan filem tetapi tidak pernah kesampaian sehinggalah saya berhubung dengan Viva pada sekitar Ogos 2021.

“Selepas berkenalan lebih seminggu, barulah ada perbincangan serius untuk membuat filem seterusnya membangunkan skrip,” katanya.

Beliau berkata filem itu bukan berunsur politik namun mesej yang ingin ditonjolkan adalah berkisar mengenai seorang tokoh politik yang secara konsisten serta tegas menentang amalan rasuah dan akhirnya meringkuk di penjara.

“Sama ada Anwar menjadi Perdana Menteri atau tidak, ia tidak timbul, kami tetap angkat filem ini dan percaya mesej yang ada adalah baik dan perlu disampaikan kepada orang ramai serta diangkat sebagai dokumentasi sejarah.

“Bagaimanapun, kami boleh dikatakan bernasib baik apabila sebaik sahaja filem ini siap keadaan politik sudah berubah dan ia menjadi bonus kepada kami yang akhirnya dapat ditayangkan di pawagan kelak,” katanya.

Farid Kamil pula berkata beliau bertuah kerana sejak bergelar pelakon belum pernah lagi diberi tanggungjawab yang besar untuk memegang watak pemimpin politik yang kuat pengaruhnya di dalam dan luar negara seperti Encik Anwar.

“Saya sempat berjumpa beliau dua, tiga kali sebelum Parlimen dibubarkan, beliau banyak membantu saya untuk memahami situasi sebenar apa yang ditulis di dalam skrip.

“… dan momen yang paling indah bagi saya ialah apabila filem ini siap, beliau diangkat sebagai Perdana Menteri yang ke-10… akhirnya doa saya dan juga jutaan rakyat Malaysia lain termakbul untuk melihatnya,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan