Festival Filem Antarabangsa SG 2024 papar 105 filem dari 45 negara
Program penuh Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) tahun ini sudah didedahkan. Pada Isnin (28 Okt), penganjur SGIFF 2024 mengumumkan bahawa festival itu akan memaparkan 105 filem dari 45 negara - termasuk The Shrouds oleh David Cronenberg, Grand Tour oleh Miguel Gomes, dan versi dikembalikan filem pertama Bong Joon-ho’ iaitu Barking Dogs Never Bite.
Tiket-tiket untuk pembeli awal akan disediakan bermula 29 Oktober.
Edisi ke-35 SGIFF akan berlangsung dari 28 November hingga 8 Disember. Pembukaan festival akan diserikan filem seram Stranger Eyes, yang diarahkan oleh pembikin filem rakyat Singapura Chris Yeo Siew Hua. Ini kali pertama filem Singapura dicalonkan bagi Golden Lion di Festival Filem Venice dan dicalonkan bagi enam anugerah di Anugerah Golden Horse tahun ini.
SGIFF 2024 juga akan menampilkan dua tayangan istimewa, masing-masing disertai dengan majlis resepsi gala bersama bakat-bakat filem tersebut.
Yang pertama ialah filem Hindi The Fable, yang diarahkan oleh Raam Reddy.
Filem itu menyusuli Dev, yang dimainkan oleh bintang Bollywood Manoj Bajpayee, seorang lelaki kaya diancam insiden misteri.
Dirakam sepenuhnya menggunakan filem 16mm, The Fable mewujudkan estetika visual dan nostalgia yang seolah-olah membawa kita ke dunia lain. Bajpayee juga akan menyertai sesi dialog eksklusif, di mana beliau akan membincangkan pengalamannya bekerja dalam filem ini.
Tayangan kedua adalah The Unseen Sister, iaitu drama psikologikal dari pembikin filem Taiwan yang dilahirkan di Myanmar Midi Z. Diadaptasi daripada novel Zhang Yueran, Qiao Sisters, filem itu menampilkan Zhao Liying sebagai watak utama yang dihantui oleh kelibat saudara perempuannya, memaksa dia berdepan dengan rahsia masa lalu.
Tahun ini,Yang Kuei-mei dan Lee Kang-sheng menjadi pelakon Taiwan pertama yang memenangi Anugerah Ikon Skrin SGIFF yang menghargai pelakon Asia yang sudah membawa kesan ketara kepada industri filem.
Yang dan Lee sebelum ini sama-sama membintangi Vive L'amour, filem klasik 1994 tentang tiga orang yang kesunyian yang secara tidak sengaja tinggal di sebuah apartmen mewah sama di Taipei. Pasangan itu juga akan kembali bersatu di sebuah sesi dialog pada 30 November di Muzium Negara Singapura, di mana mereka akan mengimbau projek-projek kerjasama sepanjang sedekad yang termasuk The River (1997) dan The Wayward Cloud (2005).
Dalam satu kenyataan, Thong Kay Wee, pengarah program SGIFF berkata: "Festival ini terus mendampingi trend-trend pawagam sejagat dan memikirkan tentang realiti-realiti dunia, di samping menerapkan pendirian kuratorial yang kuat dan perspektif Asia kita yang unik tentang bagaimana perkara ini boleh dibayangkan semula.
"Sedang kita meraikan ulang tahun ke-35 tahun ini. Kami bertekad untuk mengembangkan legasi memperjuangkan bakat-bakat dari Singapura dan rantau Asia, di samping menampilkan program festival yang berbilang aspek serta menyerlah dan layak menerima sokongan penonton."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.