Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Fenomena Mat Kilau berterusan, raih RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan

Mat Kilau menjadi filem pecah panggung tertinggi bagi kategori tempatan Malaysia dan antarabangsa selepas 'Munafik 2' dan 'Avengers: End Game'.

Anggaran Waktu Membaca:
Fenomena Mat Kilau berterusan, raih RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan

Poster filem Mat Kilau. (Gambar: Syamsul Yusof/Instagram)

KUALA LUMPUR: Filem biografi epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang mencetuskan fenomena luar biasa, berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM90 juta (S$28 juta) selepas 33 hari ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Pengarahnya Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof berkata filem itu menjadi filem pecah panggung tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: End Game.

"Air mata syukur… tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh team amat terharu. Terima kasih penonton masih terus memberi kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem pertama hingga sekarang. Insya-Allah, semoga terus diberi ilham untuk filem akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (25 Jul).

Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu juga berkata filem Mat Kilau turut menjadi filem nombor satu dalam carta box office mingguan untuk lima minggu berturut-turut sekali gus mengetepikan filem besar Hollywood.

"Telah terbukti beberapa kali, karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baru pawagam tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama majukan industri seni Malaysia,” katanya.

Sejak mula ditayangkan pada 23 Jun lalu, filem yang diinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu ketika hadir ke pawagan.

Filem yang melibatkan kos RM8 juta (S$2.5 juta) itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Jalaluddin Hassan, Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron,  A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon Indonesia yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan