Fazura himpunkan penyanyi M'sia, Indonesia dalam satu konsert 11 Sep ini
Buat pertama kalinya, Fazura akan menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022, yang menggabungkan para penyanyi tersohor dari dua negara pada harga "mampu milik".
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal Nur Fazura Shariffudin buat julung-julung kalinya akan menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 September ini.
Konsert tersebut bakal menghimpunkan beberapa penyanyi tersohor tanah air dan Indonesia seperti M. Nasir, Ahmad Band, Mulan Jameela, Ella, Ruffedge, Amir Masdi, Ippo Hafiz dan Zizi Kirana.
Beliau berkata peluang berkongsi pentas dalam satu konsert bersama para penyanyi kegemaran menjadi impiannya sejak sekian lama.
“Selain persembahan nyanyian, ada kejutan yang akan saya tampilkan pada hari (konsert) berkenaan dan ada kaitan dengan saya dan Ahmad Dhani (vokalis Ahmad Band dan Dewa 19) juga.
“Mengenai harga tiket, tentunya harga yang mampu milik kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura,” ujar beliau yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-39 September nanti.
Beliau enggan mengulas kos anjuran konsert, namun menyuarakan hasrat menjadikan konsert itu sebagai acara tahunan.
Seramai 7,000 penonton juga dianggarkan hadir ke konsert berdurasi tiga jam itu nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.