Fattah, Fazura rai tetamu dalam tema kayangan
Hajat pasangan popular, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin berkongsi kegembiraan perkahwinan seperti dijanjikan, tertunai di majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka semalam (25 Feb).
KUALA LUMPUR: Hajat pasangan popular, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin berkongsi kegembiraan perkahwinan seperti dijanjikan, tertunai di majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka semalam (25 Feb).
Bertemakan 'Fattzura Fairytale', majlis gilang-gemilang itu menyaksikan pasangan mempelai itu persis putera dan puteri raja melalui busana digayakan selain bersanding di pelamin yang dihiasi indah bak kayangan.
Di majlis itu, Fazura, 34, anggun mengenakan gaun rona putih meleret serta layah yang menutupi wajah manakala Fattah, 27, mengenakan sut rona hitam hasil sentuhan pereka terkenal, Rizman Ruzaini, lapor Berita Harian Malaysia.
Antara tetamu kehormat ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Menurut Berita Harian, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada kumpulan Ruffedge, penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari, Dayang Nurfaizah dan Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid.
Selain anggota keluarga dan rakan terdekat, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti popular antaranya Rozita Che Wan, Zizan Razak, Elfira Loy, Datuk Aznil Nawawi, Izara Aishah, Lisa Surihani, Datin Zizie Ezette, Elaine Daly, Aizat Amdan, Datuk Chef Wan dan Alvin Chong.
Menurut Berita Harian lagi, Fattah dan Fazura mula berkenalan ketika membintangi drama rantaian, Hero Seorang Cinderella, tahun lalu.
Mereka kemudian mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu sebelum bernikah secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, dua minggu kemudian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.