Fasha Sandha sempat larang Elisya jadi pelakon
Walaupun baru menceburi dunia seni selama kurang lima tahun, adik Fasha Sandha sudah berjaya mencuri perhatian ramai.

(Gambar: elisyasandhaofficial/Instagram)
MALAYSIA: Walaupun baru menceburi dunia seni selama kurang lima tahun, adik Fasha Sandha sudah berjaya mencuri perhatian ramai.
Kalau anda belum lagi kenal siapa Elisya Sandha, beliau sebenarnya wanita yang memainkan watak sampingan dalam drama popular, 'Pujaan Hati Kanda' baru-baru ini. Dalam drama tersebut, Elisya berperanan sebagai sahabat karib Mira Filzah, iaitu Reena.
Semasa ditemui mStar di sidang media Drama Festival Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur, Fasha sempat diminta mengulas tentang adiknya yang kian menempa nama dalam dunia hiburan.
Fasha mendedahkan, beliau pada awalnya tidak mahu adiknya yang berusia 19 tahun itu bergelar artis kerana bimbang Elisya tidak dapat mengharungi dugaan sebagai seorang selebriti kerana dunia hiburan menurutnya, "bukan semuanya indah".
Namun, setelah melihat kesungguhan Elisya, Fasha memilih untuk menyokong keputusannya. Malah, Fasha memberitahu mStar bahawa beliau terus membantu adiknya mempertingkatkan diri sebagai seorang pelakon dengan mencari kelemahannya.
"Sudah tentu saya bagi sokongan penuh sebab dia adik saya walaupun pada awalnya, saya tak setuju dia jadi artis kerana merasakan adalah lebih baik dia memilih pekerjaan dalam bidang lain," jelas Fasha.
"Bukan apa... Dalam dunia hiburan ini bukan semuanya indah. Kalau tak kuat, tak boleh jadi artis. Tapi Elisya minat dan nampak dia serius dan bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-citanya.
"Elisya ada bakat tapi saya sentiasa akan mencari kelemahan yang dia ada supaya saya dapat beri tunjuk ajar dalam menjadi pelakon lebih baik," tambahnya kepada mStar Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.