Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Farhan Shah mula tunjuk taring; daki ke tangga kelima Big Stage

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dari tangga paling corot di kedudukan ke-13 pada minggu pertama Big Stage 5, wakil Singapura, Farhan Shah kian menunjukkan taringnya selepas berjaya menduduki tempat ke-5 pada minggu ketiga.

Membawakan lagu Dari Mata dari Jaz pada Ahad lalu, strategi Farhan Shah jelas membuahkan hasil dengan susunan muzik yang menarik, 'prop' bulan yang menyerlah berserta vokal yang baik.

Yang jelas, beliau berasa lega kerana tidak perlu berdepan dengan kemungkinan disingkirkan di tiga posisi paling bawah bagi minggu ketiga.

Farhan berkongsi dengan BERITAmediacorp: "Saya masih ingat lagi bagaimana perasaannya berada di kedudukan tiga terbawah pada minggu pertama di hadapan jutaan penonton. Rasa sangat berdebar-debar.

"Mungkin apa yang berhasil adalah pilihan lagunya. Mercy (bagi minggu kedua) dan Dari Mata adalah lagu-lagu yang sudahpun saya tahu, jadi mudah untuk saya nikmatinya.

"Saya juga rasa seluruh konsep (bagi minggu ketiga) yang saya rancang, melibatkan 'prop' bulan, pakaian, lampu LED dan penari semuanya menjadikannya satu persembahan yang imersif untuk saya berimaginasi di atas pentas.

"Konsepnya ibarat jatuh cinta selepas memandang mata seseorang wanita itu dan berasa di awang-awangan ataupun 'over the moon'."

Malah, kesungguhan bagi satu-satu persembahan juga terbukti dengan terhasilnya 'blazer' yang dilengkapi dengan 3,000 batu pertama hasil tangan pengurus dan penggayanya sendiri!

farhan
(Gambar: Instagram/Astro Gempak)

Bagi minggu ketiga, Farhan meraih 55 markah dari Ajai dan 84 markah dari Aina Abdul.

Juri jemputan Ernie Zakri pula memberikan 74 markah, sekali gus membawa kepada markah keseluruhan sebanyak 71 peratus.

Penyanyi dari Indonesia, Waode, mengungguli minggu ketiga dengan 90 peratus, disusuli dengan Putera Muhammad, Nadeera Zaini dan HoonDoo.

Naufal Azrin menjadi penyanyi kedua tersingkir, selepas Isaac Voo minggu lalu.

BERI TUMPUAN KEPADA VOKAL, BAKAL TAMPIL KEJUTAN

Farhan juga berkongsi kali ini beliau berasa lebih tertumpu dan tidak terlalu banyak berfikir.

"Saya mengurangkan koreografi dan memberikan lebih banyak tumpuan kepada vokal dan aspek rasa," jelas beliau.

Bagi cabaran minggu keempat pula, Farhan bakal membawakan lagu Di Pintu Syurga dendangan Dayang Nurfaizah.

Beliau malah bersiap sedia berdepan komen lebih tegas memandangkan pertandingan bakal memasuki minggu keempat.

"Minggu depan adalah kali pertama saya akan menyanyikan lagu balada - pastinya juri juga akan menjadi lebih teliti sedang persaingan menjadi kian sengit.

"Inilah masanya saya mencabar diri untuk menyanyikan lagu balada walaupun memang ada penyanyi-penyanyi bersuara mantap dalam pertandingan ini, yang mana lagu balada menjadi 'makanan' mereka.

"Bagi saya, selain vokal, arahan kreatif seluruh persembahan itu juga penting. Rakan saya sejak bertahun-tahun lamanya, Ayda Jebat dan suaminya Nabil turut membantu dalam berkongsi idea bagi konsepnya bersama-sama, sangat 'sweet' kan?" kongsi Farhan.

Selain mahu memberi cabaran berbeza, Farhan turut berkongsi beliau juga sedang merancang satu kejutan bagi persembahannya minggu depan.

"Tidak sabar untuk menjalankan kejutan itu dan bagi anda untuk melihatnya!" ujarnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan