Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Faizal Tahir akui Yasin bantu ubah kehidupan beliau ke arah kebaikan, positif

Anggaran Waktu Membaca:
Faizal Tahir akui Yasin bantu ubah kehidupan beliau ke arah kebaikan, positif

Gambar: Instagram/@yasinsulaiman

Diterbitkan : 30 May 2022 11:31AM Dikemas Kini : 30 May 2022 11:32AM

KUALA LUMPUR: Faizal Tahir kesal tidak mencuri masa bertanya khabar sahabatnya, Yasin Sulaiman sehingga komposer dan penyanyi itu berdepan tuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja, baru-baru ini.

Faizal berkata, beberapa hari sebelum Yasin ditahan, mereka sepatutnya berjumpa selepas lama tidak meluangkan masa, seperti dinukil daripada BH Online.

"Kali terakhir kami berjumpa kira-kira setahun lalu...Lama tidak bertanya khabar Yasin. Itu sebabnya saya rasa lagi bersalah kerana tidak mencuri masa menjenguknya.

"Saya cuba hubungi Yasin sebaik mendapat tahun berita penahanannya. Tetapi, tentu sukar apabila sudah terjadi perkara itu. Cubaan untuk menghubungi peguam Yasin juga tidak berhasil.

"Saya tahu Yasin perlukan sokongan. Soal siapa betul, siapa salah... Saya tidak boleh komen," kata beliau kepada BH Online di majlis pelancaran single duet Alah Bisa bersama Amira Othman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Faizal berkata, Yasin menjadi antara teman akrab yang berjaya mengubah dirinya menjadi insan lebih baik di mana banyak aspek mengenai kehidupan dipelajari daripada penyanyi lagu Mimpi Laila itu.

"Apatah lagi dalam soal berkaitan agama dan al-Quran. Banyak yang saya belajar daripada Yasin sepanjang kami bersahabat. Saya belajar mengenai al-Quran, tadabbur dan perkara berkaitan kehidupan.

"Selain main 'games', kami gemar menonton YouTube untuk mencari input bermanfaat. Yasin suka berkongsi dan menurunkan ilmu.

"Yasin mengubah saya ke arah kebaikan dan positif... Hatinya bersih. Kalau orang tengok saya begini, nama yang saya akan kenang adalah Yasin.

"Seperkara lagi, dia tidak suka buruk sangka terhadap orang lain dan suka menolong," kata beliau.

Faizal atau nama penuh, Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, mereka pernah menginap di kondominium sama tetapi berbeza blok.

"Saya masih ingat lagi, ketika saya dan Yasin tinggal di kediaman sama dan kami selalu menghabiskan masa berdua.

"Cuma apabila dia sudah berpindah, kami jarang bertemu," kata beliau. 

Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di Kuala Lumpur atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, lapor BH Online.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Terbaru, Yasin sudah mendapatkan rawatan untuk penyakit bipolar yang dihidapinya, kali pertama sejak dia ditahan susulan kes ganja pada akhir Mac lalu.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan