Esplanade tambah satu lagi tarikh konsert Jamal Abdillah pada 31 Dis
SINGAPURA: Menyusuli sambutan peminat yang sangat memberangsangkan di Singapura, Esplanade memutuskan untuk menambah satu lagi tarikh pada konsert penyanyi Malaysia, Jamal Abdillah 'Aku Jamal...Perjalananku' pada Sabtu (31 Dis) ini.
Kesemua tiket untuk konsert pada tarikh pertama, 1 Januari 2023 sudahpun habis terjual, kurang sebulan selepas mula dijual.
"Saya sebenarnya terperanjat juga dan teruja akan sambutan yang begitu hangat daripada orang-orang di Singapura. Syukur Alhamdulillah saya akan cuba sebaik mungkin," kata Jamal Abdillah, dalam wawancara melalui Zoom.
Sebelum ini, 'Raja Pop Malaysia' itu pernah beraksi di Singapura untuk beberapa persembahan solo dan konsert-konsert amal.
Namun, konsert kali ini merupakan yang pertama untuk pelantun lagu 'Kekasih Awal Dan Akhir' itu menggegarkan Dewan Konsert Esplanade sepanjang 90 minit.
.jpg)
"Biasanya konsert itu saya akan bawakan lagu yang pantas dan perlahan tanpa ada mengira penceritaan sesebuah konsert itu. Dalam konsert kali ini, saya akan bawakan lagu-lagu dari awal penglibatan saya dalam bidang nyanyian daripada tahun 1970-an dan momentum itu saya bawa sampai ke tahun 2000 sampailah sekarang," jelas Jamal Abdillah, yang juga pernah membintangi beberapa filem seperti 'Azura' dan 'Ghazal Untuk Rabiah'.
GANDINGAN BERSAMA ARTIS SINGAPURA, ANAK SULUNG
Konsert kali ini juga bagi meraikan kerjayanya dalam industri hiburan sepanjang lebih lima dekad sejak menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 1971.
Beliau memberi jaminan akan membawakan lagu-lagu popularnya serta lagu-lagu yang memenuhi cita rasa peminat.
"Peminat nak lagu-lagu itu juga - 'Nasib Diriku', 'Perpisahan Tanpa Relamu' dan 'Sepi Seorang Perindu'. Walaupun kita rasa lagu itu tak mencabar kita punya kebolehan dalam bidang nyanyian, kita nak lagu yang lagi dasyhat. Tapi mereka nak lagu itu juga," ujar Jamal Abdillah.
Konsert ini turut dimeriahkan lagi dengan penampilan beberapa artis tempatan serta putera sulungnya sendiri.
"Saya akan berduet dengan seorang artis wanita dari Singapura. Untuk dua buah lagu tidak silap saya. Dan juga saya akan bawa anak saya (Osama Yamani) untuk bermain muzik dan berduet dengan saya. Itu agak kejutan-kejutan yang saya akan bawa dari Kuala Lumpur," kata Jamal Abdillah.
Untuk mempersiapkan dirinya bagi konsert ini, penyanyi berusia 63 tahun itu berkongsi beliau banyak melakukan senaman untuk menambahkan daya konsentrasi supaya dapat memberikan persembahan yang terbaik.
Konsert itu juga merupakan hadiah dan tanda penghargaan atas sokongan semua peminatnya di Singapura.
Khas buat para peminatnya di Singapura, inilah luahan hati Jamal Abdillah: "Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sokongan anda. Sokongan anda selama ini yang membuat saya bertahan dan berada di persada ini sehingga ke hari ini."
Tiket-tiket untuk konsert 2.00 petang pada 31 Disember, yang harganya bermula dari S$28 sudah boleh didapatkan di laman web Esplanade.
Para peminat juga berpeluang untuk beramah mesra serta membawa pulang poster dengan autograf Jamal Abdillah bagi pakej tiket yang berharga S$90.
PROJEK-PROJEK TERKINI
Buat masa ini, Jamal Abdillah sedang sibuk menjalani penggambaran untuk beberapa video muziknya serta mempromosikan beberapa lagu baru.
Ini termasuk gabungan bersama dua anak lelakinya bagi lagu yang diberi judul 'Lantangan Yang Melambai', yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.