Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Elyana luah rasa syukur berat badan bertambah selepas bebas barah

Anggaran Waktu Membaca:
Elyana luah rasa syukur berat badan bertambah selepas bebas barah

Gambar: Instagram/@elyanaofficial1

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih disyukuri penyanyi, Elyana apabila dimaklumkan dirinya pulih dan bebas daripada barah limfoma tahap empat.

Namun, Elyana, 35 tahun, atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal mengakui tidak mahu terlalu gembira apabila sel barah sudah tiada, sebaliknya, Elyana bersyukur apabila doanya untuk sihat dimakbulkan Tuhan.

"Saya lega... Bagai ada satu beban yang saya pikul selama ini sudah tiada. Tetapi saya tidak boleh gembira terlalu awal sebab barah boleh datang semula bila-bila masa sahaja.

"Jadi, saya hanya nikmati apa yang ada sekarang. Saya tidak berharap sangat, namun, alhamdulillah selepas lebih 10 tahun, doa saya dimakbulkan.

"Saya rasakan diri ini bagai dilahirkan semula," katanya kepada BH Online.

Bukan sekadar tampak sihat dan ceria, berat badan Elyana juga bertambah.

"Iya, berat badan saya bertambah. Salah satu sebab adalah steroid dan selera makan saya sudah datang balik.

"Jadi, daripada berat badan hanya 35 kilogram (kg), sekarang sudah mencecah 60 kg. Sejujurnya, saya tidak berpantang makanan dan disebabkan itu, ramai netizen mengecam saya," katanya.

Bercerita lanjut, Elyana berkata, pada lima tahun pertama menghidapi barah, dia mengamalkan pantang, seperti dinukil daripada BH Online.

"Tetapi saya jadi lemah. Mental turut terkesan sebab saya rasa diri ini sakit. Selepas itu, saya teruskan macam biasa, nak makan apa, saya makan tetapi berpada-pada.

"Sebab bagi saya, semuanya yang diambil berlebihan akan memudaratkan," katanya.

Elyana berkata, dua anaknya iaitu Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani menjadi insan paling gembira sebaik mendapat tahu dirinya pulih daripada barah.

"Anak-anak saya paling gembira terutama Cinta sebab dia sudah besar. Sejak Cinta berusia enam bulan, saya disahkan menghidap barah.

"Sekarang, umur Cinta sudah menginjak 11 tahun. Dia dapat rasa perbezaan ibunya dahulu dan sekarang.

"Kalau dahulu, pergi bercuti pun, ibu tidak boleh temani dia melakukan kegiatan seperti mandi kolam kerana hanya terbaring di dalam bilik disebabkan penat.

"Sekarang, Cinta gembira sebab semua kegiatan saya sertai sama," katanya yang ditemui di Pink Bazar Ramadan di pusat beli-belah Publika, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Elyana berkata, seperti Ramadan lalu, dia menjual baju, tudung serta kuih tradisi iaitu semperit yang dibuat neneknya, lapor BH Online.

"Saya tidak jual kuih lain selain semperit nenek saya. Dia buat sendiri kuih ini walaupun usianya hendak menjengah 80 tahun.

"Saya juga menjual tudung Elyana Hijab. Ini kali pertama saya jual tudung selepas berhijab setahun lalu. Pada awalnya, saya tidak mahu sebab takut orang kata saya pakai tudung sebab hendak jual tudung.

"Tetapi, lama-lama apabila orang tanya sama ada saya mahu jual tudung atau tidak, saya terdetik melakukannya," katanya yang memulakan perniagaan Elyana Hijab sejak dua bulan lalu.

Elyana mendedahkan dirinya menghidap penyakit barah limfoma tahap empat pada 2017. Sebelum ini, sel barah menyerang dan merebak ke beberapa organ badan Elyana seperti rahim, hati dan pangkal paha.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan