Ella dicengkam serangan panik; bertambah teruk sewaktu COVID-19
Ratu Rock, Ella, 55 tahun, mendedahkan dia berdepan dengan masalah 'anxiety' dan serangan panik yang teruk ketika pandemik COVID-19.

Gambar: Instagram/ellaaminuddins
KUALA LUMPUR: Ratu Rock, Ella, 55 tahun, mendedahkan dia berdepan dengan masalah 'anxiety' dan serangan panik yang teruk ketika pandemik COVID-19.
Ini berikutan terlalu lama berkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta melihat angka jangkitan COVID-19 yang meningkat saban hari.
Ella berkata, dia kembali mengalami serangan panik hingga menjadi terlalu paranoid.
"Saya menghidap penyakit serangan panik sejak bujang lagi, tetapi hanya mengetahuinya selepas sekian lama.
"Gara-gara gangguan ini, saya tiada 'mood' untuk mengadakan persembahan, tidak selera makan dan ada kalanya, tubuhnya menggigil.
"Saya merasakan keselamatan terancam apabila mahu mengadakan persembahan. Akibatnya, saya terpaksa menolak sesetengah tawaran. Bagi saya, wang bukan segala-galanya pada ketika itu," katanya kepada BH Online.
Namun, penyanyi yang popular menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu itu bersyukur, serangan panik tidak menyerang sepanjang mengadakan persembahan.
"Alhamdulillah, saya mampu mengawal emosi selepas membuat pemeriksaan dengan doktor. Saya memang disahkan menghidap serangan panik.
"Mujur serangan panik saya tidak menyerang ketika saya mengadakan persembahan," katanya.
Walau bagaimanapun, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin berkata, penyakit serangan panik itu kembali menyerang ketika pandemik.
"Saya jadi terlalu pembersih, tidak berani keluar rumah dan takut bersentuhan dengan sebarangan orang. Saya juga sentiasa menyembur sanitasi.
"Saya mengelak memenuhi undangan persembahan. Nasib baik banyak persembahan dijayakan dalam talian sepanjang era pandemik sejak dua tahun ini.
"Saya bersyukur memilih beberapa perniagaan diusahakan selain bidang nyanyian. Jadi, saya tidak terbeban akibat banyak persembahan terpaksa dibatalkan.
"Alhamdulillah, keadaan saya kian pulih selepas mengamalkan sejenis makanan tambahan untuk masalah serangan panik ini.
"Insya-Allah, saya bercadang memperkenalkan produk ini kepada orang ramai agar mereka yang menghadapi masalah 'anxiety' seperti saya mendapat manfaat," kata Ella kepada BH Online.
Ella kali pertama membuat pendedahan tentang serangan panik pada Jun lalu di Facebook. Dia berkata dia lega selepas membuat pendedahan berkenaan kerana beranggapan ia tidak seharusnya disembunyikan.
Katanya, dia nekad membuat pendedahan sebagai tanggungjawab untuk membantu insan lain. Malah, dia mewujudkan kumpulan berkaitan masalah serangan panik dalam Telegram.
"Kepada mereka yang mempunyai masalah sama, dapatkan bantuan pakar. Jangan anggap boleh diatasi sendiri kerana kesihatan mental bukan perkara main-main.
"Jangan malu atau rasa bersalah. Percayalah selepas membuat pengakuan, kita akan berasa sangat lega," katanya kepada BH Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.