Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Duo tempatan Hefni & Cre bakal muncul dengan lagu baru 'Munah'

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Bak kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat. Tanpa diduga pertemuan dengan pensyarah yang pernah mengajarnya sebelum ini membawa tuah kepada artis duo tempatan yang dikenali sebagai Hefni & Cre.

Ini kerana lagu 'Pesanan Di Hari Raya' cetusan ilham bekas profesor bernama Ramli Osman itu diterima baik oleh para penggemar muzik pada 2022 dan seringkali diudarakan di radio RIA 89.7 FM. Ini sekali gus melonjakkan nama Hefni & Cre dalam industri muzik tempatan.

Hefni & Cre dianggotai oleh dua sahabat baik Rizal Hefni, yang juga bekas murid Encik Ramli, dan Rizal Eunos (Cre).

Lantaran itu, tidak hairanlah jika duo tersebut sekali lagi bakal muncul dengan lagu terbaru, dengan lirik oleh Encik Ramli. Lagu itu berjudul 'Munah' itu digubah dan diterbikan oleh Rizal Hefni sendiri.

Kali ini, Hefni & Cre mempertaruhkan elemen pop rock bagi single terbaru mereka.

Ia adalah sebuah lagu yang ada sentuhan rock namun tidak terlalu berat, dengan melodi yang agak 'catchy'.

“Kita panggil beliau uncle Ramli, yang merupakan kawan baik arwah ayah saya. Dia pensyarah saya. Dia pun dah tulis banyak buku puisi. Dia tanya jika saya nak bekerjasama dengan dia sebab dia tahu saya belajar muzik," jelas Rizal Hefni selaku gitaris dan penyanyi bagi duo tersebut.
(Gambar: Hefni & Cre.)
Single terbaru berjudul Munah itu mengandungi mesej tentang harapan seorang bapa agar si anak mendapat kehidupan yang lebih baik ketika dewasa nanti.

“Ia adalah tentang kasih sayang seorang ayah kepada anak perempuan bernama Munah. Saya memang suka liriknya sebab ada mesej yang mendalam dengan nilai universal," Rizal Hefni memberitahu BERITAmediacorp.
Apabila ditanya sama ada lagu Munah ada hubung kait dengan duo tersebut atau penulis liriknya, ini jawab beliau sambil tertawa:

"Itu saya tak pasti tapi pada saya mungkin karakter Munah ini sebagai simbol untuk semua kanak-kanak dan generasi akan datang. Setiap bapa akan rasakan begitu pada anaknya. Sama ada ia peribadi atau tidak bukan saya yang tulis (lirik) jadi saya tak boleh katakanlah.”
(Gambar: Hefni & Cre.)
SIAPA HEFNI & CRE?

Hakikatnya, jarang sekali kita temui artis Singapura yang ingin muncul sebagai duo kerana selalunya artis memilih untuk bergerak secara solo. Jadi siapakah sebenarnya Hefni & Cre dan bagaimana duo ini bermula?

Rizal Eunos yang merupakan penyanyi utama bagi duo itu adalah seorang jurulatih kecergasan dan pernah menganggotai CRE Tribe sebelum ini.

“Pada tahun 2003 saya ke Kuala Lumpur untuk belajar muzik jadi dah 10 sehinga 15 tahun kami tak bertemu. Bila saya balik ke Singapura saya nak buat projek lagu dengan uncle Ramli. Saya teringat tentang Cre. Saya suka suara dia untuk duo ini. Pertemuan dengannya macam penyatuan semula," cerita Rizal Hefni.

Rizal Hefni pula menyifatkan dirinya sebagai seorang gitaris “self-taught” (belajar sendiri) yang pulang ke Singapura pada tahun 2009 dan bekerja sebagai pensyarah dalam penerbitan muzik di sebuah kolej muzik sehingga tahun 2020.

“Saya mengajar penerbitan muzik seperti bagaimana nak buat rakaman dan susunan muzik. Tapi selama 10 tahun di kolej muzik itu saya tiada masa untuk keluarkan muzik sendiri sebab asyik kerja sahaja (ketawa). Sekarang saya ada banyak masa," ujar Rizal Hefni lagi.

Rizal Hefni memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau sudah menyiapkan sebanyak lima buah lagu dalam masa setahun termasuk single Munah yang bakal diedarkan dan dipromosikan dalam masa terdekat ini.

Setakat ini, Munah sudah mendapat perhatian penggemar muzik Indonesia.

“Kebanyakan peminat online kami dari Indonesia jadi mungkin tak lama lagi Insya Allah kita boleh buat kunjungan ke Indonesia secara kecil-kecilan dulu," ujar beliau.

Impian Hefni & Cre adalah untuk “menjadi seperti kumpulan duo Air Supply atau Daryl Hall and John Oates.”

“Fokus susunan muzik kita lebih berwarna. Itu adalah penjenamaan kita. Kita ada dua lagu lagi nak diedarkan," tambah Rizal Hefni.

Untuk menghayati lagu Munah, anda boleh ke Spotify Hefni & Cre. Lagu tersebut juga boleh didengar di Youtube bermula 2 Januari 2023.
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan