Skip to main content

Hiburan

DOLLA bakal kongsi pentas dengan artis KPOP G-Dragon, Hwasa pada 31 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Daripada membesar sebagai peminat K-pop, kini DOLLA, kumpulan penyanyi wanita Malaysia, bakal berkongsi pentas dengan idola antarabangsa pada konsert K-Spark, 31 Jan ini.

Konsert berskala besar yang akan berlangsung di Stadium Merdeka itu menyaksikan DOLLA menyertai barisan bintang terkenal termasuk G-Dragon, Hwasa, DPR Ian, ITZY dan 3P.

Anggota kumpulan, Tabby, menyifatkan peluang tersebut sebagai sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata memandangkan barisan artis terlibat merupakan nama besar dalam industri muzik antarabangsa.

“Kami pun pada awalnya macam susah nak percaya yang line-up sebegini datang ke Malaysia. Kita sangat bersyukur, yang pertamanya dapat saksikan persembahan hebat mereka dan pada masa sama dapat berkongsi pentas. 

“...harap-harap kita boleh represent Malaysia dengan baik di atas pentas itu nanti… we will bring something special to the table,” katanya dalam sidang media konsert berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Menurut pemilik nama sebenar Tabitha Ariel Lam itu, G-Dragon dan Hwasa sebelum ini menjadi sumber inspirasi perjalanan awal DOLLA dalam industri muzik, khususnya dari segi identiti dan persembahan pentas.

Lebih membanggakan, DOLLA menjadi antara artis tempatan yang dipilih secara peribadi oleh G-Dragon bersama-sama pasukannya, selain 3P, untuk membuat persembahan di konsert tersebut.

Pemilihan itu bukan sahaja membuka ruang buat DOLLA memperkenalkan karya mereka kepada penonton antarabangsa, malah menjadi platform penting untuk membuktikan kemampuan artis tempatan beraksi di pentas berskala besar.

“Penonton kali ini bukan yang kenal DOLLA. Jadi, ini akan jadi peluang untuk kami perkenalkan diri dan berikan persembahan terbaik. Semoga dari situ mereka akan  kenal DOLLA dan sedar ada sebuah kumpulan yang mewakili Malaysia,” kata gadis berusia 26 tahun itu.

Seorang lagi ahli, Sabronzo turut memaklumkan DOLLA akan membawakan lagu dalam bahasa Melayu semasa konsert berkenaan, sebagai usaha menampilkan identiti tempatan kepada penonton luar negara.

Konsert K-Spark menghimpunkan artis serantau dan antarabangsa di satu pentas sebagai sebahagian daripada penganjuran konsert berskala besar yang menyasarkan peminat muzik K-pop di Malaysia.

Tiket boleh dibeli melalui laman web https://www.klook.com/event-detail/102000796-k-spark-malaysia-2026/ bermula Ahad (18 Jan)  pada harga RM388 hingga RM988.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita