Doa selamat, solat hajat untuk Elyana
Sebagai tanda sayang dan sokongan terhadap artis pujaan, kelab peminat Elyana akan mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat untuk penyanyi yang sedang bertarung melawan barah limfoma tahap empat itu.

Gambar: Elyana/Facebook
KUALA LUMPUR: Sebagai tanda sayang dan sokongan terhadap artis pujaan, kelab peminat Elyana akan mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat untuk penyanyi yang sedang bertarung melawan barah limfoma tahap empat itu.
Elyana Official Fan Club atau Elo FC akan mengadakan majlis itu di sebuah masjid di Seksyen 15, Shah Alam pada jam 8 malam, Khamis depan (7 Dis).
Teman baik Elyana, Zuhairry Zainal, memberitahu para anggota kelab itu sepakat menganjurkan majlis penuh keberkatan itu selepas mendapat tahu Elyana 'berjuang' melawan penyakit barah seperti diumumkan di pentas musim keempat program realiti, Gegar Vaganza (GV4), minggu lalu.
"Saya dapat tahu mulanya ada lebih daripada satu majlis ingin dianjurkan. Selepas berbincang, anggota kelab sepakat berkumpul beramai-ramai dan menganjurkan satu majlis besar, minggu depan.
"Setakat ini, saya diberitahu ramai peminat termasuk bukan anggota kelab mahu menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat yang dirancang.
"Insya-Allah, Elyana sudah mengesahkan akan menyertai majlis itu," katanya kepada BH Online.
Ahad lalu (26 Nov), Elyana yang tersingkir daripada GV4 mengumumkan dirinya menghidap barah limfoma tahap empat sejak lima tahun lalu.
Sejak hari itu, penyanyi itu tidak henti-henti dilayangkan kata-kata semangat peminat termasuk rakan artis yang mendoakan dirinya sembuh daripada penyakit itu.
Zuhairry yang sudah 18 tahun berkawan dengan Elyana berkata, ada banyak kegiatan yang bertujuan menguatkan semangat Elyana melawan barah, dirancang Elo FC pada masa depan.
Mengenai sahabat baiknya itu, Zuhairry yang sama-sama bersekolah dengan Elyana mengaku antara yang terawal mengetahui tentang penyakit dihidapinya.
"Saya sering menemaninya mencuba rawatan alternatif hingga ke Indonesia. Kami sering mendapatkan maklumat mengenai cara merawat penyakit barah di internet.
"Sepanjang mengenalinya, Elyana ceria dan tidak rasa dirinya 'diva' sebagai artis. Ketika mula disahkan mengidap kanser, kita nampak tekanan dan emosi dalam dirinya.
"Siapapun yang melaluinya akan lemah semangat dan 'down' (murung). Apatah lagi dia disahkan menghidap kanser selepas melahirkan anak," katanya.
Zuhairry berkata, selepas Elyana membuka rahsia mengenai penyakit dideritainya itu, penyanyi itu kelihatan lega.
"Selepas berkongsi cerita sebenar, nampak dirinya sangat lega. Bagai hilang beban ditanggung selama ini," katanya.
Sebagai teman baik, Zuhairry mengetahui bahawa Elyana tidak mahu meraih simpati dengan mendedahkan penyakit yang dihidapi.
"Kalau Elyana berniat menagih simpati, mungkin dari awal lagi sudah diceritakan masalahnya.
"Sekarang ini, antara sebab Elyana mengelak untuk ditemubual media adalah kerana tidak mahu cerita itu terus berpanjangan, seolah-olah dia meminta simpati.
"Hakikatnya dia masih kuat dan boleh bekerja macam biasa. Jangan risau, dia okay untuk dipanggil membuat persembahan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.