Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

DJ terkenal Chris Ho meninggal dunia akibat barah perut

Penyampai radio mapan dan pemuzik, Chris Ho, meninggal dunia pada pagi Isnin (27 Sep) setelah menghidap barah perut.

Anggaran Waktu Membaca:
DJ terkenal Chris Ho meninggal dunia akibat barah perut

Chris Ho meninggal dunia akibat barah pada 27 September. (Gambar: Instagram/Gold905)

Diterbitkan : 27 Sep 2021 12:02PM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 12:05PM

SINGAPURA: Penyampai radio mapan dan pemuzik, Chris Ho, meninggal dunia pada pagi Isnin (27 Sep) setelah menghidap barah perut.

"Rakan kesayangan kami, Chris Ho (X'Ho) meninggal dunia dengan tenang sekitar 4.37 pagi pada Isnin, 27 September.

"Beliau bertarung nyawa melawan barah perut sejak dua bulan lalu. Beliau berani, sungguh bertekad dan ceria hingga ke akhir hayatnya," menurut satu catatan di laman Facebook Ho.

Rakan-rakan dan para peminat yang "mahu mengucapkan selamat tinggal" boleh berbuat demikian di Singapore Casket pada petang Isnin atau dari Selasa hingga Khamis, menurut catatan itu lagi.

Ho terkenal sebagai seorang artis yang sangat berbakat dalam dunia seni dan hiburan tempatan. Beliau pernah menjadi seorang penyampai radio, DJ di kelab hiburan, pembuat filem, pemuzik, pengkritik muzik dan juga penulis buku.

Ho menerajui kugiran Zircon Lounge, sebuah kugiran yang ditubuhkannya pada 1980-an yang turut dikenali sebagai perintis genre muzik baru di Singapura sekali gus melahirkan landskap muzik alternatif di sini. Mendiang mengeluarkan beberapa album sepanjang dua dekad termasuk Nite Songs in Day-Glo dan No Ordinary Country yang mendapat sambutan hebat.

Ho juga menerbitkan beberapa buku termasuk Skew Me U Rebel, Meh? di mana beliau turut meluahkan hasrat agar belasungkawanya ditulis seperti berikut: "X'Ho. Usia: Sentiasa berusia 27 tahun (usia sebenar bukan urusan orang lain)". Ho juga kerap menyumbang kepada majalah muzik indie BigO.

Baru-baru ini, Ho menghoskan rancangan radio Homestretch with Chris Ho di stesen radio GOLD905 Mediaocorp. Beliau juga pernah menjadi penyampai Rediffusion, Lush 99.5 dan Radio Singapore International.

Dalam satu catatan Instagram, GOLD 905 menyatakan: "Tiada kata-kata yang boleh meluahkan kesedihan kami dan beliau akan sentiasa dirindui GOLD905, Mediacorp dan keluarga radio serta mereka yang mengenalinya.

"Chris, anda sentiasa di hati kami." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan