Diuji angin ahmar & tanggungjawab sebagai penjaga, Nuradee berniaga Sup Tulang Merah untuk sara hidup
Nuradee menjual Sup Tulang Merah secara kecil-kecilan dari rumah menerusi perniagaan Warisan Rasa. (Gambar: Nuradee)
This audio is generated by an AI tool.
Malah sepanjang Nur terlantar di hospital selama lima bulan disebabkan angin ahmar kedua itu, abangnya Adee atau nama sebenarnya Mohamed Rasid Abdullah, 59 tahun, terpaksa menjadi penghibur jalanan seorang diri.
Adee berkongsi: “Semangat kena kuatlah, saya berpegang pada satu sahaja iaitu ini adalah kehendak Allah.
"Susah begini tak mengapa. Syukur Alhamdulillah. Kalau kita bersyukur, kemanisannya ada,” terangnya tenang.
Meskipun Nur bertekad mahu mengikuti Adee untuk menghibur di jalan (busking) dengan berkerusi roda sebaik sahaja dibenarkan pulang ke rumah, keadaan tersebut sedikit sebanyak menjejas pendapatan adik-beradik itu kerana mereka terpaksa menolak undangan nyanyian atau mengurangkan kegiatan 'busking'.
"Pendapatan memang terjejas teruk sekali tapi bila 'busking' dapatlah duit sedikit-sedikit. Kalau buat perniagaan kecil-kecilan dari rumah, kan bagus, saya boleh tengok-tengokkan Nur.”
Maka timbul idea untuk menjual Sup Tulang Merah sejak awal Mei lalu.
TERCETUS IDEA JUAL SUP TULANG MERAH
Berbekalkan resipi Sup Tulang Merah milik arwah ibu mereka, Nuradee menyifatkan Sup Tulang Merah mereka sebagai 'premium' dengan ketul tulang yang berisi dan kuah yang pekat sebagai daya tarikannya.
Sambutannya juga cukup memberangsangkan dengan hampir 400 bekas makanan Sup Tulang Merah dijual pada bulan pertama ia beroperasi.
Ia dimasak tiga kali seminggu sahaja oleh Adee, dengan 50 hingga 60 bekas makanan ditempah setiap kali tempahan dibuka.
"Untuk buat 'central kitchen', saya tak mampulah, tetapi saya memang dah ambil kursus kebersihan makanan di Woodlands agar pelanggan lebih yakin terhadap perniagaan kami.”
PANJAT RASA SYUKUR MESKI BERDEPAN CABARAN
Meskipun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai penjaga (caregiver) buat Nur serta kakak mereka yang terjatuh dan tidak sihat kebelakangan ini, Adee tetap memanjat rasa syukur atas cabaran yang diharunginya.
“Saya selalu bersyukur dan bercakap, Ya Allah kau boleh buat apa-apa tapi jangan padamkan semangat dan keyakinan, nyalakanlah semangat, dan beri saya kekuatan,” luah Adee.
“Angin ahmar menjejas banyak saraf dan menjejas penglihatan Nur. Sekarang pun saya jaga kakak saya yang baru terjatuh kelmarin, yang tinggal sendirian dan duduk hospital tiga bulan. Saya hubungi dia tiga kali sehari,” tambahnya.
Menurut Adee, meskipun kesihatan adiknya itu bertambah baik sekarang ini, namun Nur tidak boleh berjalan jauh dan masih menggunakan kerusi roda. Nyanyian dan cara Nur bermain gitar pun "tidak seperti dahulu".
Buat masa ini, Adee hanya memikirkan tentang kesembuhan adiknya dengan harapan Nur dapat kembali menyanyi seperti dahulu.
Nuradee, yang terkenal dengan lagu 'Diam', 'Tekad' dan 'Yang Pasrah' juga bakal menyambut ulang tahun ke-40 tahun mereka sebagai sebuah kumpulan tahun hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.