Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Disney bakal tayang baki filem 2021 secara eksklusif di pawagam dahulu

Disney mengumumkan pada Jumaat (10 Sep) bahawa semua filemnya yang dijadual dilancarkan hingga hujung tahun ini akan ditayangkan secara eksklusif di pawagam terlebih dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Disney bakal tayang baki filem 2021 secara eksklusif di pawagam dahulu

Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 05:18PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 12:53AM

SAN FRANCISCO: Disney mengumumkan pada Jumaat (10 Sep) bahawa semua filemnya yang dijadual dilancarkan hingga hujung tahun ini akan ditayangkan secara eksklusif di pawagam terlebih dahulu.

Pengumuman itu membawa kelegaan kepada panggung-panggung wayang yang ingin menyambut semula kehadiran penonton setelah pandemik koronavirus menghancurkan industri itu.

Filem animasi Encanto akan dikeluarkan di pawagam pada 24 November dan tidak akan muncul di wadah video mengikut permintaan Disney sehingga 24 Disember, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Projek-projek lain yang dalam perancangan, termasuk The Last Duel oleh Ridley Scott, Eternals terbitan Marvel Studios dan West Side Story oleh Steven Spielberg, akan ditayangkan di pawagam sekurang-kurangnya 45 hari sebelum dilancarkan di wadah lain.

Keputusan itu amat dinantikan pawagam tradisional setelah gergasi hiburan itu baru-baru ini memilih untuk melancarkan penerbitan besar seperti Black Widow, Jungle Cruise dan Cruella di wadah Disney+, lantas mengalihkan sebahagian daripada pendapatan mereka.

Pelakon Black Widow, Scarlett Johansson telah memulakan tuntutan saman terhadap Disney, menuduh syarikat itu melanggar kontrak dan menyebabkan beliau kehilangan jutaan dolar dalam bentuk kutipan pawagam setelah syarikat itu mengeluarkan filem tersebut di platform videonya.

Dua tahun yang lalu, Disney menerbitkan kandungan bagi kedua-dua pawagam dan saluran televisyen, namun ia kini mempunyai akses langsung kepada penontonnya melalui penstriman, suatu trend yang dirangsang oleh pandemik COVID-19.

Pada pertengahan Ogos, ketua Disney Bob Chapek berkata beliau lebih cenderung ke arah "fleksibiliti" dan kemampuan untuk "mengikuti pengguna ke mana sahaja penonton itu berada".

Semasa pembentangan hasil kewangan syarikat, beliau berkata "ketika pawagan dibuka semula, orang ramai sangat keberatan untuk kembali menonton".

Studio Warner Bros juga dikritik hebat atas keputusannya untuk mengeluarkan semua filem barunya sepanjang tahun ini di wadah HBO Max.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan