Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Diana Danielle akan jalani pemeriksaan kesihatan mental

Pelakon jelita Diana Danielle berkongsi bahawa beliau akan berjumpa pakar kesihatan mental pada 29 November.

Anggaran Waktu Membaca:
Diana Danielle akan jalani pemeriksaan kesihatan mental

Pelakon, Diana Danielle. (Gambar: Instagram/Diana Danielle)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 12:45PM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 12:48PM

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Diana Danielle berkongsi bahawa beliau akan berjumpa pakar kesihatan mental pada 29 November.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Twitter miliknya kerana mengesyaki dirinya mungkin mengalami masalah kesihatan mental dari segi tumpuan (ADD atau ADHD).

Diana mengesahkan demikian ketika ditemui Astro Gempak di majlis pelancaran platform wayang dalam talian, Film Wallet Premium On Demand di pusat beli-belah Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada Khamis (25 Nov).

Kata Diana, orang ramai harus mempunyai kesedaran diri yang tinggi mengenai kesihatan mental.

"Perkara macam ini, kita kena ada kesedaran diri, saya tahu ramai orang sebenarnya takut nak jujur dengan diri sendiri, tanda-tanda ADHD ini bukanlah susah untuk kita kenal, ramai yang ada tapi mereka tak tahu.

"Saya suka baca tentang perkara ini, jadi saya terdedah dengan fakta-fakta yang saya boleh guna dan kaitkan dengan diri saya.

"Saya syak tentang perkara ini sejak saya remaja lagi, tapi ambil masa yang lama untuk jujur dengan diri sendiri," katanya lagi kepada Astro Gempak.

Mengulas lanjut tentang simptom yang dialami, Diana sering mengalami gangguan tumpuan dan mudah beralih dari satu perbuatan ke yang lain selain selalu kehilangan barang miliknya.

Justeru, Diana ingin membuat pemeriksaan lanjut bukan sahaja untuk dirinya, tapi demi anak-anak tersayang.

"Saya memang alami masalah fokus yang lari atau berubah-ubah, saya mahu buat satu perkara kemudian beralih kepada perkara lain, jadi saya kesian kepada anak-anak saya.

"Antara simptom yang saya alami, kadang-kadang saya alami masalah memori, mudah kehilangan barang yang saya miliki dan macam-macam lagi.

"Kiranya saya ke depan mahu membuat pemeriksaan ini bukan untuk diri saya semata-mata, semangat itu datang dari anak-anak saya kerana saya mahu menumpukan perhatian yang penuh kepada mereka.

"Macam manapun, ADHD ini bukanlah tak boleh dirawat, ada cara untuk merawatnya dan saya pun tak terlalu risau mengenainya," jelasnya.

Tambah isteri kepada aktor Farid Kamil itu, beliau masih menyimpan harapan yang sebenarnya beliau tidak menghidap ADHD, menurut laporan Astro Gempak.

"Kalau boleh saya harap saya tak mengalami ADHD, sekarang saya tak kata saya mengalaminya kerana belum disahkan oleh doktor, apa yang saya boleh cakap, saya rasa saya mungkin mengalaminya.

"Jadi, harap-harap 29 November ini doktor cakap saya tak mengalami ADHD dan hanya tak cukup tidur, tapi kalau saya mengalaminya pun saya takkan salahkan diri sendiri dan terima sahaja," katanya menutup bicara.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan