Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

‘Di Kampong Gelam’ – dendang rakyat baru ilham dari rancangan DETIK

Selepas lebih lima dekad, akhirnya tercipta sebuah dendang rakyat, dendang Singapura yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacop:
Kampong Gelam tempat bersejarah
Dulu juga dipanggil Kampung Jawa
Walaupun dah banyak berubah
Tetap di Arab Street tempat beli
kain.. berela ela


Selepas lebih lima dekad, akhirnya tercipta sebuah dendang rakyat, dendang Singapura yang baru.

Lirik, irama dan lagu dihasilkan artis veteran tanah air, Art Fazil.

Berkongsi bagaimana tercetusnya lagu rakyat baru ini, beliau berkata “Pada Ogos tahun lepas, saya diwawancara di dalam program DETIK dan kita berbincang tentang lagu-lagu rakyat, khususnya lagu-lagu tentang nama-nama tempat di Singapura seperti Geylang Serai, Tanjong Katong.”

“Dan dari situ saya fikir kita kekurangan lagu-lagu yang menamakan tempat. Kebetulan dalam Oktober tahun lepas, saya main-main guitar dapat idea lagu, Di Kampong Gelam.”

IDENTITI KAMPUNG GELAM – PERMATA BERSEJARAH & HAB PERNIAGAAN

Kawasan Kampung Gelam menjadi tempat pilihan kerana menurutnya ia menggambarkan identiti majmuk Singapura.

“Ia ada sesuatu identiti kerana dengan Masjid Sultan, aktiviti-aktiviti keagamaan dan juga di sini terletaknya pusat pencetakan Melayu. Dulu banyak orang tua kita suka pergi membeli-belah ke Kampong Jawa atau Arab Street tekstil,”ujar Art Fazil.

Kampong Glam atau nama asalnya Kampong Gelam (Gelam ialah nama pokok)
Kampong Glam atau nama asalnya Kampong Gelam (Gelam ialah nama pokok)

Beliau sendiri sering beristirehat bersama karyawan seniman lain seperti Ramli Sarip di kawasan Kampung Gelam.

Kini, kawasan tersebut tambahnya sering dikaitkan dengan ‘hipster’ kerana ia sudah melalui proses gentrifikasi.

Sebelum Kampung Gelam dijulang sebagai syurga pencinta gastronomi dengan deretan restoran, kafe serta butik-butik pakaian, dahulu sejak 1850-an – ia menjadi kawasan perumahan untuk masyarakat pelbagai latar belakang, bangsa dan etnik seperti Melayu, Bugis, Cina, India dan Arab.

“Jadi, pada saya ia adalah satu perubahan yang harus dirakam. Sebagai seorang penulis lagu, saya ingin merakamkan lagu ini dalam bentuk seni kata tentang keadaan Kampong Gelam yang sekarang, tapi kita juga harus lihat sejarahnya,” katanya lagi.

Bussorah Street ada banyak restoran
Di Haji Lane ‘hipster’ berkeliaran
Terasa nak makan nasi padang
Tapi warong hanya buka waktu siang


KAMPUNG GELAM SIMBOL TRADISI & MODEN BOLEH WUJUD SECARA HARMONI

Terkenal dengan jolokan permata budaya dan sejarah masyarakat Islam di Singapura, Kampung Gelam diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan pada 7 Julai 1989.

Kini, setelah melalui fasa peralihan, Art Fazil berpendapat ia adalah kawasan yang menggambarkan persimpangan antara tradisional dan moden, sekali gus menjadi relevan untuk generasi seterusnya.

“Walaupun Kampung Gelam, tempat komersil, tempat perdagangan tapi ia ada sejarahnya. Kita boleh mencapai kata sepakat dan keseimbangan.”

“Di samping itu juga, ada perniagaan lama dan baru yang menarik pelanggan dan menjadikan tempat ini lebih dinamik. Kalau kita lihat hari ini, di hujung minggu memang ramai sekali orang datang,” tambahnya.

DENDANG RAKYAT BARU, TARIKAN GENERASI SETERUSNYA

Dengan terciptanya dendang rakyat baru ini, Art Fazil berharap ia dapat menjadi penghibur dan penyatu masyarakat serta pengikat untuk generasi seterusnya.

“Saya menulis dari hati saya, yang seikhlasnya. Saya harap lagu ini boleh diminati oleh terutama golongan muda."

"Cara kita membuat lagu ini, muzik videonya ia lebih memikat dan diharap akan menarik minat pendengar-pendengar muda dan mereka dapat berkongsi di Tiktok video tentang lagu ini dan tahu Kampung Gelam bukan sekadar ‘hipster’ tapi juga sejarahnya,” ungkapnya sebagai menggulung wawancara bersama penerbit DETIK, Nursha Ismail.

Seniman veteran Art Fazil bersama penerbit DETIK, Nursha Ismail
Seniman veteran Art Fazil bersama penerbit DETIK, Nursha Ismail

Ternyata, anjakan rancangan DETIK untuk menganjurkan karyawan seni tanah air mencipta lagu rakyat baru sudah berhasil.

Sudah tiba masanya kini kita mencipta memori baru diiringi alunan Dendang Rakyat, Dendang Singapura yang baru, ‘Di Kampong Gelam.’

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan