Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dengan tangan masih berbalut, gitaris terkemuka Steve Vai lancarkan lagu baru

Jika Rick Allen terkenal sebagai pemain dram satu tangan kumpulan Def Leppard, gitaris Steve Vai pula kini serlahkan kehebatannya mainkan lagu baru dengan satu lengan disandang dan tangan kirinya pula masih berbalut.

Anggaran Waktu Membaca:
Dengan tangan masih berbalut, gitaris terkemuka Steve Vai lancarkan lagu baru

(Petikan skrin: YouTube/SteveVaiHimself)

BERITAmediacorp: Bagi peminat lagu genre rock dan metal, pemain gitar elektrik Steve Vai pasti satu nama yang tidak asing lagi. Bahkan, pemenang anugerah Grammy tiga kali itu pasti pernah menjadi salah seorang idola bagi mereka yang minat pada gitar elektrik. (Penulis juga tidak terkecuali).

Pada Jumaat (12 Mac), gitaris berusia 61 tahun itu yang pernah bermain bersama David Lee Roth (vokalis kumpulan Van Halen) dan kumpulan Whitesnake, melancarkan lagu terbaru secara online bertajuk Knappsack.

Apa keunikan atau keistimewaannya?

Lagu itu dimainkan sepenuhnya dengan hanya satu tangan dan dikeluarkan tidak lama setelah artis itu mengumumkan beliau baru saja menjalani pembedahan di tangan kirinya.

Awal bulan ini, Vai dalam satu wawancara di saluran YouTube popular Music is Win mendedahkan beliau "tidak dapat bermain buat seketika" menyusuli pembedahan di jarinya setelah mengalami kecederaan memegang satu kord sukar terlalu lama.

Laman Guitar World melaporkan artis itu sebagai berkata dalam satu wawancara berasingan bulan lalu bahawa beliau sedang membuat album baru dan menulis lagu dengan hanya satu tangan, setelah mengalami kecederaan di bahu kanannya awal daripada itu pula.

"Sebelum (pembedahan jari) terjadi, bahu saya cedera dan saya tidak dapat gunakan tangan (kanan) ini, jadi saya bermain dengan hanya satu tangan. Jadi saya sedang menulis lagu dengan hanya satu tangan. Saya sedang cuba menerbitkannya."

Pada Jumaat di saluran YouTube rasmi beliau SteveVaiHimself, Vai menerbitkan satu video baru berkongsi tentang pembedahan-pembedahan yang pernah dilaluinya serta beberapa nasihat untuk peminat gitar agar mereka dapat menerapkan tabiat-tabiat baik bermain gitar dan elakkan kecederaan yang pernah beliau sendiri lalui.

Muncul dengan lengan kanannya di dalam anduh (sling) dan tangan kirinya dibalut, Vai menceritakan bahawa anduh yang menyokong lengan kanannya dipanggil 'Knappsack', sempena doktor pakar bernama Dr Knapp yang merawatnya.

Menjelang hujung video itu, Vai dengan bersahaja mengeluarkan gitar signature terbarunya yang berwarna serba hitam dan keemasan sambil berkongsi bagaimana beliau berasa teruja untuk bermain walaupun dalam keadaan cedera.

"Saya tak dapat bermain dengan tangan kanan, namun saya masih ada satu tangan. Dengan teknik legato yang betul, saya masih boleh bermain. Lalu saya terfikir, apa kata saya tulis satu lagu untuk anda? Saya panggil lagu ini Knappsack, dan begini bunyinya," kata beliau lalu terus mula bermain lagu rancak itu.

Selama lebih lima minit, tangan kiri Vai yang masih berbalut ligat 'menari' di sepanjang leher gitar, menunjukkan teknik-teknik legato, tapping malah sempat menggunakan tremolo bar yang biasanya memerlukan tangan kanan untuk dimainkan.

Di hujung lagu itu, Vai memetik gitarnya dan mengerang secara berseloroh lalu menamatkan video sambil berkata: "Saya harap Dr Knapp tidak menonton video ini."

Persembahan Knappsack boleh ditonton di saluran YouTube dan didengar menerusi wadah penstriman Spotify, Apple Music dan Amazon Music. 

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan