Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Demi minat berlakon, Bell Ngasri bangkit meski dihina kerana bertubuh pendek

Anggaran Waktu Membaca:
Demi minat berlakon, Bell Ngasri bangkit meski dihina kerana bertubuh pendek

(Gambar: Facebook/Bell Ngasri)

KUALA LUMPUR: Manik-manik jernih yang gugur dari kelopak mata saat melangkah kaki ke pentas untuk menerima trofi berprestij, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 di Panggung Sari, Istana Budaya minggu lalu, menterjemah perasaan yang bersarang dalam hati artis 'senior' serba boleh, Bell Ngasri, 43 tahun.

Bukan hanya air mata kegembiraan yang mengalir, rasa sebak berpunca kegagalan Bell mengawal emosi saat terkenangkan liku dilalui sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.

Masih sejar dalam ingatan Bell insiden pernah dihina seorang pengarah terkenal yang mempertikai bakat lakonannya hanya disebabkan dirinya pendek atau ketot, lapor Berita Harian.

Meskipun kata-kata itu umpama pisau menghiris hati, namun, pelakon filem Kaki Bakar itu tidak terasa hati, sebaliknya, menjadikan penghinaan itu sebagai pembakar semangat mengecap kejayaan.

"Sepanjang hidup saya sebagai artis, saya banyak melalui pahit manis. Pernah ada yang beritahu saya, macam inikah hendak jadi artis dengan badan ketot macam kau?

"Kalau awak yang kena macam mana? Sudah tentu melunturkan diri. Tetapi, Alhamdulillah, ini (kejayaan di pentas ABPBH 35) adalah bukti kepada mereka yang pernah buat begitu terhadap saya," katanya.

Meskipun menimba pengalaman dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak, namun, Bell mengaku nasibnya tidak seperti pelakon lain yang begitu mudah ditawarkan watak utama serta mencipta populariti segera.

"Malah, sebelum ini pun, tiada siapa ambil peduli pasal saya. Tetapi saya tidak kisah kerana saya tidak perlukan populariti dan tak mahu bergantung dengannya.

"Apabila saya ambil keputusan lebih fokus kepada watak komedi, saya hanya mahu menghiburkan orang dengan lakonan saya... Itu yang saya harapkan," katanya kepada Berita Harian.

Menyedari rezeki tidak datang bergolek, anak kepada pasangan penyiar dan pelakon, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu sangat komited dengan kerjaya lakonan.

Buktinya, walaupun ditimpa kemalangan, Bell tetap meneruskan penggambaran hingga dimarahi pengarah, seperti dinukil laporan Berita Harian.

Mengulas kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 35, Bell berkata, trofi itu adalah hadiah kepada ibu tercinta yang menjadi pendorong utama kerjaya seninya.

"Sebenarnya, hadiah ini untuk mama. Dia yang hendak sangat saya menang. Dia yang suruh saya berlakon sampai kiamat, sampai saya hendak belajar bidang lain pun tak boleh.

Dalam pada itu, Bell turut mengharapkan kemenangannya itu memberi inspirasi kepada anak seni yang seangkatan dengannya mengecap kejayaan serupa.

Selain gelaran Bintang Paling Popular, Bell turut mengungguli trofi Artis Komedi Popular.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan