Demi Lovato dimasukkan ke hospital selepas dipercayai ambil dadah berlebihan
Bekas bintang Disney, Demi Lovato, 25 tahun, dikejarkan ke sebuah hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri akibat pengambilan dadah berlebihan.

Gambar fail Demi Lovato. (Gambar: Steve Marcus/ Reuters)
LOS ANGELES: Bekas bintang Disney, Demi Lovato, 25 tahun, dikejarkan ke sebuah hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri akibat pengambilan dadah berlebihan.
Jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles mengesahkan dengan AFP bahawa seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan dari kediaman milik Demi Lovato. Pihak berkuasa itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama dan keadaan mangsa.
Agensi berita hiburan TMZ turut menerbitkan rakaman audio satu panggilan kecemasan membabitkan seorang pemanggil yang memaklumkan penyanyi berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Namun, Lovato berjaya disedarkan selepas dirawat dengan Narcan, iaitu sejenis alat semburan bagi merawat individu yang mengambil dadah berlebihan.
Majalah People yang memetik sumber yang rapat dengan Lovato berkata, penyanyi itu berada dalam keadaan stabil dan dadah yang disyaki diambil bukan heroin, seperti yang dilaporkan oleh TMZ.
Dalam pada itu, wakil Lovato enggan mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut.
Lovato sebelum ini pernah mendedahkan mengenai masalah yang dihadapinya, termasuk masalah ketagihan dadah, kemurungan dan bulimia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.