Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dayang Nurfaizah gegarkan pentas Esplanade pada 20 Mei; tiket sudah habis dijual

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun, penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah kembali menggegarkan pentas Esplanade, Singapura menerusi Konsert Belagu yang akan berlangsung pada pukul 8.00 malam 20 Mei 2023. 

Menurut Dayang atau nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42 tahun, beliau juga tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas Esplanade sekali gus mengubat kerinduan peminatnya di Singapura.

"Alhamdulillah, saya berasa terharu dan bersyukur kerana jualan tiket konsert Belagu yang mula dijual kepada orang ramai sejak 16 Mac lalu juga sudah habis dijual.

"Konsert ini hanya satu malam saja dan pihak kami tidak akan menambah persembahan kepada dua malam," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai konsert itu, kata Dayang, persembahannya akan diiringi barisan 18 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Aubrey Suwito.

"Ia berbeza dengan konsert Belagu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di mana persembahan saya bersama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

"Manakala, konsert Belagu di Esplanade pula bersama dengan band tapi konsep persembahan masih sama iaitu mengangkat karya irama klasik yang masih segar.

"Seramai 1,500 peminat di Singapura akan turun untuk menyaksikan konsert saya di dewan Esplanade nanti," ujarnya. 

Ditanya persiapan pula, kata Dayang, beliau akan berlatih bersama dengan kugiran di bawah pimpinan Encik Aubrey selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Selain menjalani ibadah puasa, saya juga berlatih sendiri dulu sepanjang Ramadan ini.

"Saya akan menyampaikan rangkaian lagu dari album Belagu dan Belagu II, pastinya saya dan Aubrey mahu memberikan yang terbaik untuk peminat pada konsert Belagu di Singapura nanti," katanya kepada Harian Metro alagi. 

Terdahulu, Dayang berjaya mengangkat karya irama klasik menerusi konsert Dayang Nurfaizah & MPO:Belagu yang berlangsung di DFP, KLCC pada 11 Mac lalu.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan