David Beckham tersenarai atlet pertama Britain bergelar hartawan
Legenda bola sepak England, Sir David Beckham muncul sebagai atlet pertama Britain yang memiliki kekayaan mencecah status hartawan, menurut senarai tahunan Sunday Times Rich List bagi 350 individu dan keluarga terkaya negara itu.
Beckham bersama isterinya, Lady Victoria Beckham dianggarkan memiliki kekayaan gabungan sebanyak 1.2 bilion pound, sekali gus meletakkan beliau dalam kelompok elit individu paling kaya di Britain. (Gambar fail)
- Sir David Beckham menjadi atlet Britain pertama bergelar hartawan dengan kekayaan bersama isterinya, Lady Victoria Beckham, dianggarkan 1.2 bilion pound.
- Senarai Sunday Times Rich List turut menampilkan kemunculan Noel dan Liam Gallagher serta peningkatan kekayaan Nik Storonsky dan Alex Gerko.
- Sanjay dan Dheeraj Hinduja mengekalkan kedudukan teratas selama lima tahun berturut-turut dengan kekayaan 38 bilion pound melalui Kumpulan Hinduja.
- Kekayaan Raja Charles III meningkat kepada 680 juta pound, mengatasi Rishi Sunak dan isterinya, sementara jumlah hartawan di UK menurun kepada 157 orang.
Beckham bersama isterinya, Lady Victoria Beckham dianggarkan memiliki kekayaan gabungan sebanyak 1.2 bilion pound (S$2 bilion), sekali gus meletakkan beliau dalam kelompok elit individu paling kaya di Britain.
Senarai tersebut turut menyaksikan kemunculan sulung dua beradik terkenal kumpulan Oasis, Noel dan Liam Gallagher yang dianggarkan mempunyai kekayaan sekitar 375 juta pound (S$639.8 juta).
Hinduja kekal teratas lima tahun berturut-turut
Sementara itu, tempat teratas senarai berkenaan kekal milik Sanjay dan Dheeraj Hinduja, yang menduduki posisi pertama untuk tahun kelima berturut-turut dengan nilai kekayaan mencecah 38 bilion pound.
Kedua-dua mereka menerajui Kumpulan Hinduja yang mempunyai kepentingan perniagaan global merangkumi sektor minyak, gas, perbankan dan pengangkutan.
Antara individu yang mencatat peningkatan terbesar dalam senarai tahun ini ialah pengasas bersama syarikat teknologi kewangan Revolut, Nik Storonsky serta usahawan dagangan, Alex Gerko.
Menurut laporan itu, kini terdapat 157 hartawan di UK, berkurangan sebanyak 20 orang berbanding empat tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, kekayaan Raja Britain, Raja Charles III dilaporkan meningkat sebanyak 40 juta pound (S$68.2 juta) kepada 680 juta pound (S$1.1 bilion), sekali gus meletakkannya di tangga ke-230 dalam senarai.
Jumlah itu turut mengatasi bekas Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan isterinya, Akshata Murty yang dianggarkan mempunyai kekayaan sekitar 563 juta pound (S$960 juta).
Beckham gandakan kekayaan dalam setahun
Sir David dan Lady Beckham dilaporkan menggandakan kekayaan mereka dalam tempoh 12 bulan lalu, sekali gus melonjakkan beliau sebagai atlet pertama Britain yang mencapai status hartawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.