Dave Prowse, pelakon Darth Vader meninggal dunia pada usia 85 tahun
Pelakon Mark Hamil yang memainkan watak Luke Skywalker dalam siri filem Star Wars berkata beliau "amat sedih" mendengar berita itu.
Pelakon asal Darth Vader, Dave Prowse. (Gambar: Agensi berita)
BRISTOL: Bekas ahli bina badan dari Bristol, England, Dave Prowse, yang terkenal kerana lakonannya sebagai Darth Vader dalam trilogi asal Star Wars, meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Prowse memainkan watak Vader kerana tubuhnya yang sasa walaupun suara watak itu adalah milik James Earl Jones.
Namun begitu, Prowse paling bangga memainkan watak 'Green Cross Code Man' yang menggalak keselamatan jalan raya di United Kingdom. Bagi lakonannya itu Prowse dianugerahi darjah kebesaran MBE.
"May the force be with him, always!" atau Semoga Kekuatan Selalu Bersamanya kata ejen Prowse, Thomas Bowington. Dialog itu amat sinonim dengan watak Vader.
"Walaupun popular kerana memainkan banyak watak jahat - bagi saya dan sesiapa yang mengenali Dave dan bekerjasama dengan beliau, beliau adalah wira dalam hidup kami."
Encik Bowington menyifatkan kematian pelakon itu selepas beliau mengalami penyakit untuk tempoh yang singkat "sesuatu yang amat menyentuh hati kami dan jutaan peminat kami di merata dunia".
Pelakon Mark Hamil yang memainkan watak Luke Skywalker dalam siri filem Star Wars berkata beliau "amat sedih" mendengar berita itu.
"Beliau seorang lelaki yang baik dan lebih daripada sekadar Darth Vader," kata Hamil di Twitter. "Beliau sangat menyayangi para peminatnya seperti mana mereka menyangi beliau."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.