Skip to main content

Hiburan

Dari Malaysia ke New York: Misha Omar 'tawan' Times Square

Anggaran Waktu Membaca:
Dari Malaysia ke New York: Misha Omar 'tawan' Times Square

Wajah penyanyi Misha Omar terpampang di Times Square, New York. (Gambar: Instagram/Misha Omar)

Diterbitkan : 30 Sep 2025 08:09AM Dikemas Kini : 30 Sep 2025 08:10AM
KUALA LUMPUR: Wajah penyanyi terkenal Malaysia, Misha Omar, terpampang di papan iklan digital ikonik Times Square, New York.

Ini sebagai salah satu figura kempen Spotify EQUAL, yang merupakan satu inisiatif yang mengangkat suara wanita dalam industri muzik.

Misha menyifatkan detik bersejarah itu sebagai pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya, lapor Astro Awani.

Dalam perkongsian di Instagram, Misha menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada platform penstriman Spotify, termasuk Spotify Malaysia dan Spotify Singapura atas peluang untuk meraikan kekuatan wanita melalui muzik.

“Sebagai wanita, setiap suara kita membawa seribu kisah tentang kekuatan, kasih sayang, dan kecekalan. Setiap kali kaki ini menginjak pentas, setiap bait lagu yang dinyanyikan, dan setiap halangan yang kita berjaya lalui, sebenarnya tanpa sedar, kita sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya bersinar dengan lebih terang,” ujar pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu.

Misha, yang mesra disapa sebagai Kak Mitch turut berkongsi bahawa selama 23 tahun bergelar anak seni, muzik menjadi wadah untuk menyampaikan cinta dan kekuatan kepada para peminat.

"Detik bersejarah seperti ini menguatkan lagi kepercayaan Kak Mitch bahawa muzik bukan sekadar kerjaya; ia adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa seluruh pendengar," katanya lagi.

Beliau turut merakam penghargaan kepada syarikat rakamannya, Sony Music Malaysia serta pasukan pengurusan yang setia bersamanya sepanjang perjalanan kerjayanya.

“Tanpa kasih sayang, sokongan dan kepercayaan, tidak mungkin kerjasama kita sampai ke usia 23 tahun bersama,” ujarnya.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita