Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Daphne Iking kongsi kisah mula berhijab, 'rasa bogel kalau tak pakai'

Anggaran Waktu Membaca:
Daphne Iking kongsi kisah mula berhijab, 'rasa bogel kalau tak pakai'

(Gambar: @daphneiking/Instagram)

KUALA LUMPUR: Benarlah hijrah itu milik Allah, demikian juga dengan Daphne Iking, 43 tahun, yang kini mengambil keputusan untuk berhijab.

Pemilik nama sebenar, Dahlia Eleanor Iking berkongsi penghijrahannya baru-baru ini, seperti yang dilaporkan portal Keluarga. Beliau yang memeluk Islam pada tahun 2010  mengakui asbab mengenakan tudung adalah kerana mahu menutupi uban di kepala pada awalnya.

“Bapa saya meninggal dunia akibat penyakit barah dan sejak itu saya banyak terlibat dalam aktiviti kesedaran mengenai penyakit berkenaan. Rambut saya panjang dan berhasrat untuk mendermakannya kepada sebuah badan kebajikan barah," ujar Daphne, seperti yang dinukil Keluarga. 

“Tapi untuk berbuat demikian, tak boleh warnakan rambut atau lakukan sebarang perawatan selama enam bulan. Dalam tempoh itu, saya mempunyai uban. Kalau berada di rumah, okaylah sebab ia hanya dilihat suami dan anak-anak.

“Kemudian kita sudah diberikan kelonggaran untuk keluar selepas penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan saya perlu hadiri satu majlis bertemakan warna ungu. Saya berdandan dan nak pastikan uban tidak terlihat, saya pakai turban.

“Tapi saya tidak ada turban warna ungu lalu pakai shawl saja. Bila pakai ia akan ‘terpeleot keluar’, saya jenis kasar. Saya pun kenakan topi selam.

“Alhamdulillah, suami menyokong meski awalnya dia agak ragu-ragu, ” kata hos terkenal, Daphne Iking yang meluahkan rasa syukur selepas benar-benar berhijab sepenuhnya sejak Oktober tahun lalu.

Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui rasa janggal sekiranya ‘free hair’ dan meluahkan rasa syukur kerana perjalanan hijrahnya dipermudahkan, lapor Keluarga. 

“Proses itu berterusan sampai Ramadan dan bila tiba hari raya, rasa janggal buka tudung. Saya kembali berselendang ala gaya Grace Kelly. Seminggu kemudian saya pergi berenang dan berbikini. Tapi saya rasa ‘bogel’ sangat.

“Seganlah…sudah berumur nak pakai macam Halle Berry. Pergi pantai macam tu. Jadi saya pakai ‘baju diving’. Perubahannya daripada situ, kemudian saya beritahu suami untuk jual semua baju seksi,” katanya lagi, menurut laporan portal Keluarga.

Sehingga kini, anak kelahiran Keningau Sabah itu selesa dengan penampilan terbarunya berhijab.

“Rasa bogel kalau tak pakai. Oleh kerana saya turut kerap buat sesi temubual secara maya, paling tidak saya akan sarung anak tudung dengan topi. Sekurang-kurangnya ia menutupi,” katanya lagi.

Akui bukan mudah istiqamah, Daphne dalam masa yang sama mahu menumpukan pengisian rohani terlebih dahulu dan berharap peminat menerima ia seadanya.

Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan