Skip to main content

Hiburan

Cef Wan disahkan hidap barah limfoma

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan, 65, disahkan menghidap barah limfoma.

Dalam catatan di laman Instagram miliknya, Cef Wan memaklumkan dirinya kini berada dalam keadaan stabil kerana barah yang dihidapinya masih di peringkat awal.

Menurut beliau, beliau didiagnos menghidap barah itu selepas menjalani ujian elektrokardiogram (ECG) di sebuah hospital petang Khamis (3 Ogos).

"Saya baru sahaja menjalani ujian ECG. Pada jam 3.00 petang doktor memaklumkan mengenai keputusan biopsi saya.

"Mereka perlu menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap barah limfoma.

"Saya perlu menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada barah ini sudah merebak ke organ lain termasuk menentukan ia di tahap berapa," katanya seperti dipetik BH Online.

Sehubungan itu, Chef Wan memaklumkan beliau mempunyai peluang kira-kira 70 hingga 80 peratus untuk sembuh dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.

"Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana barah limfoma juga dikaitkan dengan organ itu.

"Saya juga akan menjalani kemoterapi dan memulakan rawatan serta-merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu.

"Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi, saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M Daud Kilau, Samy Velu, Liberace dan ramai lagi," tulisnya seperti ditukil BH Online.

Yang jelas, Chef Wan tetap kekal positif meskipun dilanda ujian.

"Inilah kehidupan… anda hanya perlu melaluinya dengan positif. Anak perempuan dan menantu saya sedih mendengar berita ini. Tetapi saya kata jangan menangis, saya belum pergi lagi.

"Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. Insya-Allah, Allah akan jaga saya.

"Terima kasih atas semua doa dan ucapan. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan," tulisnya di laman Instagram.
Sumber : Agensi berita/IM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita