Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Cederakan anak: Suami Ziana Zain berdepan hukuman lebih berat

Dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas anaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Cederakan anak: Suami Ziana Zain berdepan hukuman lebih berat

Ziana Zain. (Gambar: Ziana Zain/Instagram)

Diterbitkan : 08 Mar 2018 04:13PM Dikemas Kini : 08 Mar 2018 04:33PM

SHAH ALAM: Suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang didakwa mencederakan anak lelakinya, berdepan hukuman lebih berat selepas pihak pendakwa meminda pertuduhan ke atasnya hari ini (8 Mac).

Ketika prosiding di Mahkamah Majistret di Shah Alam, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memaklumkan kepada Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, bahawa pihaknya ingin membuat pindaan membabitkan seksyen dalam pertuduhan itu.

Pindaan tersebut adalah daripada Seksyen 324 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 324 dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu manakala Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 324.

Jurubahasa mahkamah kemudian membacakan pertuduhan pindaan itu kepada Armin Zaharin. Dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas anaknya menggunakan rotan di sebuah rumah di Denai Alam, antara pukul 8.00 malam hingga 11.30 malam pada 24 Februari lalu.

Bekas pramugara kanan sebuah syarikat penerbangan yang berusia 53 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Armin Zaharin, yang memakai kemeja-T kelabu dan seluar jeans biru, bagaimanapun tetap mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya seperti pertama kali dia dihadapkan ke mahkamah sama pada Selasa lalu (6 Mac).

Dia ditangkap pada 2 Mac lalu, selepas Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat aduan polis pada 27 Februari.

Berhubung soal ikat jamin, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mengekalkan jumlah RM10,000 (S$3,370) seperti yang dicadangkannya pada prosiding sebelum ini.

Peguam Muhammad Zufar Elias yang mewakili Armin Zaharin berkata jumlah ikat jamin RM5,000 (S$1,680)yang ditetapkan mahkamah sebelum ini memadai memandangkan anak guamnya bekerja sendiri dan hanya memperoleh pendapatan berdasarkan komisen yang diterima.

"Anak guam saya juga mempunyai seorang ibu yang sudah tua dan tidak sihat, selain ini merupakan kesalahan pertamanya," katanya.

Raja Noor Adilla kemudian mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 6 April depan untuk penyerahan dokumen.

Ziana, yang popular dengan lagu Madah Berhelah, mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman 18 tahun, Muhammad Ammar 14 tahun serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun.

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan