Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Cakra Khan gagal tahan air mata lihat ibu hadir konsertnya di KL

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan, gagal menahan air mata apabila ibunya, Entik Trisuyatmi, hadir menyaksikan Konsert A Decade Cakra Khan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Sabtu (21 Jan). 

Cakra berkata itu adalah kali pertama ibunya hadir untuk menyaksikan konsert berskala besar yang diadakan sempena menyambut 10 tahun pembabitannya dalam persada seni.

"Detik paling istimewa sudah tentu apabila saya tahu ibu hadir menyaksikan konsert ini. Kali pertama sebenarnya dia hadir ke konsert berskala besar seperti ini.

"Selalunya ibu akan bersama dengan arwah bapa. Tapi, ketika lihat dia bersendirian, saya tak boleh kawal emosi. 

"Malah sebelum membawakan lagu 'Ayah' pada konsert ini, saya mendengar lebih 100 kali supaya dapat kawal emosi. 

"Mula-mula saya cuba elak pandang ke arah ibu dan video di layar tetapi perasaan sedih tidak boleh dikawal. Namun Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik," Harian Metro memetik kata-kata penyanyi itu. 

Di konsert itu, Cakra membawakan lebih 20 lagu selain dihiburkan dengan penampilan istimewa Aina Abdul, Khai Bahar dan Ade Govinda.

Cakra turut mengingatkan kepada tetamu serta peminat yang hadir supaya menghargai kedua ibu bapa ketika masih ada.

"Hidup harus tetap berjalan. Walaupun ayah sudah tiada tapi saya masih memiliki hati (ibu) di depan saya. 'I love you'.

"Untuk teman-teman semua yang masih punya orang tua, tolong luangkan masa dengan mereka sebelum semuanya terlambat," nasihatnya.

Tambah Cakra, dia masih ingat pesanan arwah bapanya, Hermana, yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat angin ahmar.

"Ayah pesan, dia mahu saya sentiasa menghiburkan orang lain di atas pentas. Dia mahu saya sentiasa menyanyi dan memberi yang terbaik untuk semua pendengar.

"Persembahan lagu 'Ayah' ini adalah dedikasi untuknya yang selama ini menjadi bapa terbaik yang akan selamanya ada dalam hati.

"Saya juga tak terfikir akan berada di sini. Ramai yang hadir termasuk idola-idola saya. 

"Selama ini saya penuh dengan mimpi dan antaranya saya ingin buat orang lain gembira. Saya harap malam ini saya mampu memberikan yang terbaik dan diingati oleh peminat," katanya, seperti ditukil Harian Metro. 

Konsert pelantun yang popular menerusi lagu Kekasih Bayangan itu dihadiri ramai sepebriti popular seperti Siti Nurhaliza, Rossa, MK K-Clique, Puteri Sarah Liyana, Fattah Amin dan Nur Fazura. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan