Buku edisi pertama 'Harry Potter' laku AS$471,000
Buku edisi pertama Harry Potter dijual pada harga AS$471,000 (S$642,868) di Amerika Syarikat pada Khamis (9 Dis), yang menurut jurulelong merupakan harga rekod dunia untuk sebuah karya fiksyen abad ke-20.
LOS ANGELES: Buku edisi pertama Harry Potter dijual pada harga AS$471,000 (S$642,868) di Amerika Syarikat pada Khamis (9 Dis), yang menurut jurulelong merupakan harga rekod dunia untuk sebuah karya fiksyen abad ke-20.
Buku edisi kulit keras terbitan British tahun 1997 "Harry Potter And The Philosopher's Stone" itu dengan ilustrasi berwarna di kulitnya, digambarkan oleh syarikat lelong Heritage Auctions seperti "ajaib, sangat terang dan terjaga rapi".
Buku itu dicetak di Amerika Syarikat sebagai "Harry Potter And The Sorceror's Stone".
Hanya 500 salinan seumpama itu dicetak, menurut rumah lelong yang berpangkalan di Dallas. Harga terakhir yang diterima itu adalah enam kali ganda harga sebelum jualan yang dianggarkan sebanyak AS$70,000 (S$95,543).
Harga lelong sebelum ini bagi buku edisi pertama Harry Potter jumlah AS$110,000 (S$150,139) hingga AS$138,000 (S$188,356).
"Bukan hanya ini buku Harry Potter termahal pernah dijual, ini juga adalah karya fiksyen komersil abad ke-20 yang paling mahal pernah dijual," menurut Naib Presiden Eksekutif Heritage Auctions, Joe Maddalena dalam satu kenyataan.
Buku itu dijual oleh seorang pengumpul Amerika dan nama pembelinya tidak didedahkan.
Penulis British J.K. Rowling menulis enam lagi buku tentang pengembaraan ahli sihir muda dengan sekitar 500 juta salinan sudah dijual dalam 80 bahasa setakat ini, menurut syarikat cetakan AS Scholastic. Buku-buku itu juga sudah dijadikan filem yang menghasilkan AS$7.8 bilion(S$10.6 bilion) di pawagam global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.