Skip to main content

Hiburan

BTS tarik diri daripada pencalonan Grammy selepas kategori muzik pop Asia diperkenalkan

Kumpulan popular K-pop dunia, BTS, mengumumkan pada Rabu (29 Jul) bahawa mereka tidak akan menghantar sebarang pencalonan bagi Anugerah Grammy pada tahun depan, menyusuli pengenalan kategori baharu oleh Recording Academy, termasuk Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik.

Anggaran Waktu Membaca:
BTS tarik diri daripada pencalonan Grammy selepas kategori muzik pop Asia diperkenalkan

BTS menerima anugerah Artis Terbaik di pentas Anugerah Muzik Amerika (American Music Awards) ke-52 di MGM Grand Garden Arena, Las Vegas, Nevada, pada 25 Mei 2026. (Gambar fail: Getty Images menerusi AFP)

Diterbitkan : 30 Jul 2026 01:05PM
SEOUL: Kumpulan popular K-pop dunia, BTS, mengumumkan pada Rabu (29 Jul) bahawa mereka tidak akan menghantar sebarang pencalonan bagi Anugerah Grammy pada tahun depan, menyusuli pengenalan kategori baharu oleh Recording Academy, termasuk Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik.

Kumpulan dari Korea Selatan itu sebelum ini diramal menjadi antara calon utama bagi beberapa anugerah Grammy yang paling berprestij, termasuk Album Terbaik Tahunan, selepas album kemunculan semula mereka, 'Arirang', muncul sebagai antara album paling laris tahun ini.

"Kami telah memutuskan untuk tidak menyertai Grammy tahun ini," kata para anggota BTS menerusi beberapa catatan yang dibuat secara serentak di akaun Instagram masing-masing.

"Kami berharap muzik didengari dan dihargai atas nilainya sendiri, bukan ditentukan berdasarkan rantau atau bahasa," kata mereka.

BTS merupakan kumpulan pertama yang dianggotai sepenuhnya oleh warga Korea Selatan untuk menduduki tangga teratas carta lagu Billboard Amerika Syarikat menerusi lagu 'Dynamite' pada 2020. Lagu tersebut merupakan karya pertama yang dinyanyikan kumpulan itu dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Walaupun pernah membuat persembahan di Anugerah Grammy dan menerima beberapa pencalonan, termasuk bagi Video Muzik Terbaik, kumpulan itu masih belum pernah memenangi sebarang anugerah Grammy.

Album 'Arirang', yang dinamakan sempena lagu rakyat Korea Selatan, mengandungi lirik bahasa Inggeris yang meluas dan mengetengahkan beberapa tema termasuk identiti Korea selepas kumpulan tersebut berehat bagi menjalani perkhidmatan tentera yang diwajibkan.

Namun, album itu tidak layak dicalonkan dalam kategori baharu Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik, iaitu satu daripada lima kategori baharu yang diumumkan bulan lalu, kerana syaratnya menetapkan karya yang dicalonkan mesti menggunakan sekurang-kurangnya satu bahasa Asia secara "bermakna".

Recording Academy menyatakan anugerah baharu itu bertujuan mengiktiraf "kecemerlangan artistik dalam persembahan muzik pop Asia yang berasal dari atau diiktiraf secara meluas dalam pasaran Asia, termasuk tetapi tidak terhad kepada K-pop, J-pop dan C-pop".

Langkah tersebut menerima pelbagai reaksi di media sosial. Sesetengah pengkritik berpendapat kategori tersebut mengasingkan para artis Asia ke dalam kategorinya yang tersendiri, berbanding mengiktiraf mereka bersama artis-artis lain di peringkat global.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita