Bruno Mars bakal kembali ke Singapura untuk 4 konsert pada April 2027
Penyanyi pemenang Anugerah Grammy Bruno Mars bakal kembali ke Singapura untuk mengadakan empat konsert di Stadium Negara pada April 2027.
Bruno Mars membuat persembahan semasa Anugerah Grammy ke-67 di Los Angeles, California, pada 2 Februari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Mario Anzuoni)
Penyanyi berusia 40 tahun itu akan membawa jelajah 'The Romantic Tour' ke Singapura pada 13, 14, 17 dan 18 April.
Konsert tersebut berlangsung kira-kira tiga tahun selepas persembahan terakhir Mars di Singapura.
Rakan kolaborasi lamanya, Anderson .Paak, turut akan menyertai konsert tersebut dengan membuat persembahan sebagai DJ Pee .Wee.
Mars dan Anderson .Paak juga akan bergandingan untuk membuat persembahan sebagai duo muzik Silk Sonic.
JUALAN AWAL BERMULA 11 SEPTEMBER
Dua sesi jualan awal tiket akan berlangsung serentak pada Jumaat (11 Sep).
Jualan awal bagi peminat yang mendaftar akan berlangsung dari 12.00 tengah hari hingga 11.59 malam.
Peminat yang mahu mendapatkan akses kepada jualan awal tersebut perlu mendaftar selewat-lewatnya pada 7 September.
Satu lagi sesi jualan awal akan diadakan bagi anggota Live Nation dalam tempoh yang sama.
Jualan tiket kepada orang ramai pula akan bermula pada 10.00 pagi, Isnin (14 Sep), menerusi Ticketmaster.
Setiap pembeli boleh membeli sehingga enam tiket bagi setiap urus niaga semasa jualan awal dan jualan umum.
Harga tiket dan pelan tempat duduk akan diumumkan kemudian.
MENANG 16 ANUGERAH GRAMMY
Mars mula mencipta nama pada 2010 selepas tampil dalam lagu 'Nothin' On You' oleh B.o.B sebelum melancarkan kerjaya solonya menerusi album sulung 'Doo-Wops & Hooligans'.
Sejak itu, beberapa lagunya menduduki tangga teratas carta di seluruh dunia, termasuk 'Just the Way You Are', 'Grenade' dan 'I Just Might'.
Setakat ini, Mars sudah memenangi 16 Anugerah Grammy dan menjual lebih 150 juta rakaman di seluruh dunia, menjadikannya antara artis paling berjaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.