Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Britney Spears rayu dibebaskan daripada 'cengkaman' bapa

"Saya hanya mahukan kehidupan saya kembali seperti biasa… Saya bukan ‘hamba’ kepada sesiapa. Saya mengalami tekanan, tidak boleh tidur dan saya tidak gembira dengan kehidupan ini."

Anggaran Waktu Membaca:
Britney Spears rayu dibebaskan daripada 'cengkaman' bapa

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 24 Jun 2021 10:28PM Dikemas Kini : 24 Jun 2021 10:29PM

LOS ANGELES: "Saya hanya mahukan kehidupan saya kembali seperti biasa… Saya bukan ‘hamba’ kepada sesiapa. Saya mengalami tekanan, tidak boleh tidur dan saya tidak gembira dengan kehidupan ini."

Demikian antara luahan ratu pop dunia, Britney Spears di Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu (23 Jun) dalam kenyataan rayuannya yang memohon untuk menggugurkan bapanya, Jamie Spears, sebagai ‘penjaga’ (conservator), lapor Reuters.

Bapa Britney, Jamie Spears sebelum ini mula memikul peranan tersebut selepas menerima arahan mahkamah pada 2008 selepas Britney didakwa mengalami masalah kesihatan mental.

Hak itu sudah berlarutan selama 13 tahun dan menurut ibu kepada dua orang anak ini, beliau tidak mahu hal berkenaan terus menjejas kehidupannya.

Dengan ‘hak’ yang diberikan kepada bapanya, Jamie bertanggungjawab menguruskan segala urusan berkaitan perubatan, kewangan dan semua urusan peribadi bintang itu.

Tahun lalu, Britney gagal dalam percubaannya untuk ‘menyingkirkan’ bapanya daripada mengawal kehidupan dan hal-hal peribadinya selepas Mahkamah Los Angeles memutuskan perkara itu akan terus berkuat kuasa sehingga tahun ini.

Penyanyi lagu Oops! I Did It Again itu turut membuat permohonan untuk membolehkan pengurusnya, Jodi Montgomery, memainkan peranan tersebut.

Terbaru, di hadapan hakim di mahkamah sama, Britney tampil sekali lagi menyifatkan ‘penjagaan’ ini sebagai satu penderaan terhadap dirinya.

"Kepada mereka semua yang terlibat dalam perkara ini termasuk bapa dan pengurusan saya, mereka seharusnya dipenjarakan," ujarnya.

Akui Britney, di bawah ‘penjagaan’ tersebut juga, dia terpaksa membelanjakan hampir S$80,697 sebulan bagi mendapatkan rawatan mental selepas membatalkan persembahannya di Las Vegas pada 2019.

Selain itu, Britney berkata beliau merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, Sam Asghari, dan memiliki anak namun mereka (bapa dan pengurusan) memasang alat pencegahan kehamilan (contraceptive device) terhadapnya dan menghalangnya untuk mengandung lagi.

Menerusi perkahwinan terdahulu dengan Kevin Federline, Britney hanya memperoleh 30 peratus hak penjagaan selepas Federline diberikan hak penjagaan tunggal untuk menjaga kedua-dua anak mereka.

Antara perkara lain di bawah hak penjagaan itu, Jamie juga bertindak ‘melarang’ Britney untuk melakukan rawatan kecantikan diri melibatkan kuku, rambut dan urutan akupuntur.

"Dia (Jamie) dengan arahan yang diberikan ini dan kawalan yang dilakukan ke atas saya.

"Apa saya lalui merupakan satu situasi yang memalukan dan tidak bermoral, saya rasa dibuli," tambahnya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan daripada Jamie yang dibaca oleh peguamnya di mahkamah, dia berkata hanya mahu membantu anak perempuannya itu.

“Saya berasa sedih melihat dia menjalani kehidupan dalam penderitaan dan kekecewaan, Jamie sangat menyayangi Britney," kata peguamnya.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan