Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bob Lokman meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat sakit jantung

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman, 58 tahun, meninggal dunia akibat penyakit jantung kira-kira pukul 1.00 tengah hari Jumaat (23 Sep), lapor BH Online. 

Perkara itu disahkan isterinya, Relawati Daud, kepada rakan rapat Allahyarham, Marlia Musa sekitar pukul 3.00 petang.

"Saya baru dapat berhubung dengan isterinya dan dia mengesahkan pegawai kesihatan masih berada di kediaman mereka untuk pengesahan kematian," kata Cik Marlia ketika dihubungi Astro AWANI. 

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, merupakan penulis lirik beberapa lagu popular, Isabella, Taman Rashidah Utama dan banyak lagi.

Terdahulu, pada 8 April, Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Namun, akibat kekangan kewangan dialami, Bob hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu, menurut BH Online lagi. 

Sebelum ini, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan