Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Black Dog Bone buat konsert ulang tahun ke-45 pada 6 November ini

Kalau anda rindu dengan lagu-lagu malar segar Black Dog Bone (BDB) seperti Bila Rindu, Rileks, Jangan Lukakan Hatiku atau Joget Hati Jujur dan mahu mendengarkannya live dari BDB sendiri, pangkah tarikh ini – 6 November 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Black Dog Bone buat konsert ulang tahun ke-45 pada 6 November ini

Black Dog Bone (BDB) akan mengadakan konsert di Singapura sempena ulang tahunnya yang ke-45. (Gambar: Razzi M)

Diterbitkan : 16 Oct 2018 12:32AM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 01:24AM

BERITAmediacorp: Kalau anda rindu dengan lagu-lagu malar segar Black Dog Bone (BDB) seperti Bila Rindu, Rileks, Jangan Lukakan Hatiku atau Joget Hati Jujur dan mahu mendengarkannya live dari BDB sendiri, pangkah tarikh ini – 6 November 2018. BDB akan mengadakan konsert di Singapura sempena ulang tahunnya yang ke-45.

Inilah juga peluang anda untuk melihat kembali kumpulan legenda itu - yang dianggotai oleh Jatt Ali (dram), Razzi M (gitar), Hamid Ahmad (bass), James (winds) dan Michael (keyboard) – kembali beraksi di atas pentas. Konsert tersebut bakal berlangsung di The Grand Ballroom, Orchid Country Club, dianjurkan oleh LILIN dan disokong oleh Siti Events.

(Gambar-gambar: Jatt Ali)

BERITAMediacorp menghubungi anggota kumpulan tersebut iaitu Razzi M dan Jatt Ali, untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. Razzi M, selaku ketua Black Dog Bone baru-baru ini berkongsi:

“Kami ingin membalas budi kepada peminat-peminat yang telah menyokong 45 tahun perjalanan kami. Mereka telah banyak beri sokongan dan kita adakannya sebagai membalas budi mereka. Kita ingin kembalikan nostalgia bersama BDB.”

SELEPAS KONSERT S’PURA, MAHU JELAJAH M’SIA PULA

Kali terakhir BDB membuat persembahan adalah pada Januari 2015 di Esplanade. Selepas konsert terbaru ini, BDB mendedahkan kepada BERITAmediacorp, ia turut merancang untuk mengadakan konsert menjelajahi bandar-bandar seluruh Malaysia.

(Gambar-gambar: Razzi M)

Razzi M menambah bahawa kumpulan tersebut dijangka membuat persembahan selama dua jam yang turut dimeriahkan oleh sahabat lama mereka iaitu penyanyi Jay Jay dari kumpulan Carefree. Keserasian antara Black Dog Bone dan Jay Jay memudahkan lagi mereka untuk bekerjasama sekali lagi.

Seorang lagi anggota BDB iaitu Jatt Ali turut dihubungi baru-baru ini untuk mengulas tentang penganjuran konsert kumpulan tersebut.

Apakah sukar untuk mengumpulkan semula anggota kumpulan tersebut untuk berbincang mengenainya memandangkan kesemua mereka mempunyai komitmen masing-masing?

“Zaman sekarang kan senang nak berhubung? Kami ke rumah Razzi M dan bincang dengan dia untuk konsert 45 tahun ulang tahun ini. Lagipun S. Atan suka untuk bersama kita dalam projek ini jadi kita teruskanlah,” jelas Jatt.

(Gambar-gambar: Jatt Ali)

BDB “KONFIDEN” DENGAN KONSERT NOVEMBER INI

Meskipun idea tersebut hanya tercetus lebih dua bulan lepas, Jatt akui tidak timbul sebarang masalah untuk menganjurkannya oleh penganjur iaitu LILIN. Tambah vokalis tersebut:

“Mereka ada kepercayaan dan konfiden nak buat pada cuti umum iaitu Deepavali. Lagipun kita buat pun bukan besar sangat, ini khas untuk mereka yang betul-betul minat dengan BDB. Jika mereka betul-betul minat BDB, mereka akan datanglah.”

Komposer serta penerbit S. Atan yang menetap di Kuala Lumpur kini turut diundang memandangkan S. Atan banyak menerbitkan album-album BDB yang menjadi hits sebelum ini. Undangan tersebut juga sebagai satu penghargaan kepada komposer tersebut.

Kesemua anggota kumpulan BDB menetap di Singapura melainkan Jatt yang berpindah ke Johor Bahru. Jatt, 62 tahun masih aktif menyanyi di sebuah kelab di Singapura sehingga kini.

Apakah rahsia mereka masih dapat bertahan sehingga 45 tahun lamanya tanya kami kepada vokalis utama Jatt?

“Bukannya rahsialah. Yang penting kita hormati satu sama lainlah, jangan rasa iri-hati atau cemburu kelebihan seseorang itulah. Macam saya sebagai pemain drum dan penyanyi utama, jika saya yang banyak menonjol dalam band itu, yang lain tak perlu iri hati atau cemburu. Kalau mereka iri hati, band ini tidak akan dapat bergabung semula, memahami antara satu sama lain,” terangnya panjang lebar.

Ketika ditanya tentang kesihatan anggota-anggota BDB termasuk diri Jatt sendiri, ini jawapan Jatt yang sempat bergurau:

“Tengoklah masing-masing. Ada yang jalan dah senget, dah tak kacak macam dulu (ketawa) tapi alhamdulillah masih ok. Masih boleh menyanyi dan bermain alat muzik.”

ANAK LELAKI JATT AKAN TURUT MENYANYI
Jatt sendiri masih menyanyi di kelab malam sehingga kini. Ini dapat membantunya kerana menurutnya, beliau harus menyanyi setiap hari. Sekiranya beliau tidak berbuat demikian atau tidak menyanyi selama dua atau tiga tahun, ia akan membuatnya “semput bila menyanyi”.

Jatt pula menyanyi lagu-lagu rok untuk tugasannya setiap malam sekaligus membantunya juga untuk mempunyai tenaga untuk persembahan mereka nanti.
Untuk konsert ulang tahun BDB itu nanti, mereka turut akan memberikan peluang kepada anak lelaki Jatt yang berusia 20 tahun untuk membuat persembahan pada petang tersebut. Dedah Jatt:

“Sebenarnya kami tidak rancang untuk elemen kejutan tapi insya Allah pada hari itu saya akan undang anak saya sendiri untuk ‘jam’ sebuah lagu dengan BDB. Dia tak pernah menyanyi. Dia nak nyanyi sangat jadi saya kata apa kata saya panggil dia nyanyi. Anggota BDB kata suara dia bagus. Cuma dia takut lagilah.”

Sementara itu, Razzi M pula turut berharap agar para penggemar yang datang pada hari tersebut akan rasa puas dengan persembahan mereka walaupun sudah lama mereka tidak bermain muzik bersama-sama.

“Kami telah buat sedaya upaya untuk latihan-latihan kami. Mudah-mudahan ia akan memberi kepuasan dan akan menjadi kenangan buat mereka,” kata beliau.

Untuk bersama-sama bernostalgia sambil menyaksikan konsert ulang tahun ke-45 Black Dog Bone, anda boleh hubungi talian penganjur iaitu 9631 3019 dan 9386 3019 untuk mendapatkan tiket-tiket anda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa