Bintang terkenal Filipina Nora Aunor tutup usia pada 71 tahun
Nora Aunor, salah seorang bintang paling terkenal dalam dunia perfileman Filipina sepanjang kerjayanya selama tujuh dekad, meninggal dunia pada usia 71 tahun.

Pelakon Nora Aunor hadir semasa sesi bergambar bagi filem Sinapupunan (Thy Womb) di edisi ke-69 Festival Filem Venice di Venice, Itali, pada 6 September 2012. (Gambar fail: AP/Joel Ryan)
Aunor meninggal dunia pada Rabu (16 Apr), menurut catatan di media sosial oleh anak-anaknya.
Butiran lanjut mengenai punca atau lokasi kematiannya tidak didedahkan setakat ini.
Pelakon Filipina, Lotlot de León, berkata di Instagram bahawa ibunya “menyentuh generasi demi generasi dengan bakat luar biasa, keanggunan, dan semangatnya terhadap seni. Suara, kehadiran dan kehalusan seninya membentuk satu legasi yang tidak akan pudar.”
Menurut De León, maklumat mengenai persemadian dan hal-hal lain akan dikongsi kemudian.
Aunor, yang dilahirkan dengan nama Nora Cabaltera Villamayor, berasal daripada sebuah keluarga miskin di wilayah Camarines Sur, timur Filipina.
Sewaktu kecil, beliau menjual air di stesen kereta api di kampung halamannya.
Nama Aunor mula dikenali sebagai seorang penyanyi pada usia remaja sekitar tahun 1960-an sebelum beliau beralih ke dunia lakonan.
Sepanjang kerjayanya, beliau membintangi lebih 200 filem dan rancangan televisyen, termasuk banyak karya klasik perfileman Filipina.
Aunor turut memenangi puluhan anugerah lakonan.
Antara lakonannya yang paling diingati termasuk filem Tatlong Taong Walang Diyos (1976), Bulaklak sa City Jail (1984) dan The Flor Contemplacion Story (1995).
Beliau memenangi kesemua anugerah pelakon wanita terbaik di Filipina menerusi lakonannya dalam filem Andrea, Paano ba ang Maging Isang Ina? (1990), dan memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Filem Asia menerusi wataknya sebagai seorang bidan dalam Thy Womb (2012).
Aunor masih aktif berlakon sehingga tahun lalu, apabila beliau membintangi filem Mananambal (The Healer) dan muncul dalam siri televisyen Lilet Matias, Attorney-at-Law.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.