Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bintang Spider-Man Tom Holland tunai janji kepada peminat cilik

"(Holland, Zendaya) bukan sahaja berlakon menjadi wira kejiranan yang mesra (dengan penduduk), mereka sebenar-benarnya wira."

Anggaran Waktu Membaca:
Bintang Spider-Man Tom Holland tunai janji kepada peminat cilik

Bintang Spider-Man, Tom Holland, semasa tayangan perdana No Way Home pada 13 Dis 2021, di Los Angeles. (Gambar: Jordan Strauss/Invision/AP)

AMERIKA SYARIKAT: Pernahkah anda terbayang membuat aksi menghayun dari sarang labah-labah bersama dengan bintang Spider-Man, Tom Holland?

Seorang anak kecil bertuah dapat melalui pengalaman itu apabila dia dijemput ke set penggambaran Spider-Man: No Way Home. Dia juga berpeluang 'menggantikan' pelakon Zendaya dalam aksi tersebut.

Bridger Walker menarik perhatian ramai pada tahun 2020 apabila anak kecil berumur enam tahun itu menyelamatkan dan melindungi adiknya yang berumur empat tahun daripada diserang anjing. Dia memerlukan lebih 90 jahitan menyusuli insiden itu, menurut kenyataan media yang diberikan kepada CNN pada masa itu.

Kisah tindakan berani Walker itu dikongsi oleh bapanya, Robert dan menarik perhatian ramai bintang Marvel seperti Holland, Mark Ruffalo, Robert Downey Jr dan Chris Evans. Mereka memuji keberanian Walker.

Holland yang berumur 25 tahun itu berjanji untuk mengundang Walker ke set penggambaran filem terbaru Spider-Man. Mengikut beberapa pos di akaun Instagram Encik Robert Walker, pelakon itu sudah menunaikan janjinya.

"Masih ingat @tomholland2013 pernah berjanji kepada Bridger bahawa dia boleh datang ke set penggambaran Spider-Man? Janjinya ditepati!" kata Encik Robert Walker dalam akaun Instagramnya pada Sabtu (18 Dis).

Dalam gambar yang dimuat naikkan, kami dapat lihat seorang budak lelaki bersama Zendaya dan Holland, yang lengkap memakai kostum Spider-Man. Terdapat juga rakaman di mana Holland menggendong Walker semasa mereka menghayun bersama menggunakan beberapa wayar.

Encik Robert Walker menambah: "Apabila kami sampai di set penggambaran, saya berasa bimbang kerana khuatir sekiranya kami dapat menonton di sebalik tabir penggambaran filem tersebut, kemeriahan dan kejutan filem itu tidak akan terasa lagi bagi anak-anak (saya), namun, ia sebaliknya!"

Beliau berkata lagi bahawa Holland, Zendaya, para pelakon dan kru membuat kanak-kanak di sana berasa bagaikan mereka juga bintang filem.

"Mereka bukan sahaja berlakon menjadi wira kejiranan yang mesra (dengan penduduk), mereka sebenar-benarnya wira."

Beliau juga berkata bahawa Holland dan Zendaya berbual dengan kanak-kanak dengan cara yang "berbudi bahasa dan penuh kebaikan" dan mengucapkan terima kasih kepada abang Holland.

Harry Holland yang bertugas sebagai penolong produksi filem tersebut merupakan "pemandu peribadi mereka sepanjang hari itu".

Jika Spider-Man: No Way Home menarik banyak perhatian kerana ia berjaya 'pecah panggung', budi baik Holland juga tentu sekali memenangi hati ramai orang.

Sumber : CNA/FA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan