Bintang Spider-Man Tom Holland jadi sasaran kemarahan pengguna Twitter India
Penduduk di India beramai-ramai seru #BoycottSpiderMan kerana tersilap identiti.
Tom Holland. (Gambar: tomholland2013/Instagram)
AMERIKA SYARIKAT: Bintang Spider-Man Tom Holland menjadi sasaran kemarahan Twitter di India pada Jumaat (26 Feb) dalam satu kes tersilap identiti.
Seorang sejarawan dengan akaun Twitter @holland_tom menulis catatan yang menyindir Perdana Menteri India Narendra Modi pada Rabu setelah nama sebuah stadium kriket besar ditukar sempena nama beliau.
"Saya sangat mengagumi sikap rendah diri yang ditunjukkan Modi dalam menamakan stadium kriket terbesar di dunia bersempena dirinya," tulisnya di Twitter.
Catatan itu menimbulkan kemarahan ramai di India. Mereka menyangka akaun Twitter itu milik seorang Tom Holland yang lain - warga Britain 24 tahun yang membintangi siri filem Marvel Spider-Man, yang mempunyai akaun Twitter @TomHolland1996.
Tidak lama kemudian tanda pagar #BoycottSpiderMan mula tersebar di negara dengan 1.3 bilion penduduk itu.
"Ini adalah ehwal dalaman India. Kami akan memberi anda pengajaran seumur hidup. #Boycottspiderman," kata seorang pengguna sebagai menjawab catatan Twitter oleh sejarawan itu.
"Anda penghasut, bersekongkol melawan pemimpin global (Modi). Anda tunggu saja, polis Delhi akan menjejaki anda," kata seorang lagi pengguna.
Pelakon itu aktif di Twitter minggu ini dan bersenda dengan peminat tentang tajuk-tajuk yang mungkin digunakan untuk filem terbaru dalam siri tersebut.
Tanda pagar #BoycottSpiderMan kemudian menjadi semakin tular sedang para pengguna Twitter mengejek yang lain kerana marah secara melulu.
Sejarawan Holland kemudian memohon maaf: "Saya sendirian nampaknya telah memusnahkan prospek Spider-Man seterusnya di India."
"Saya sepatutnya mengingati bahawa kuasa yang besar diiringi tanggungjawab yang besar," katanya, merujuk kepada tukilan Spider-Man yang terkenal.
Dengan nada bersahaja, beliau menambah: "Untuk rekod, dan untuk menyelamatkan keuntungan Marvel di India, saya secara bebas mengakui bahawa Narendra Modi adalah seorang yang sangat rendah diri, dan tindakan beliau menamakan stadium kriket terbesar di dunia sempena dirinya sendiri tidak sama sekali meninggi diri dengan cara yang melucukan. "
Stadium di Ahmedabad di negeri Gujarat itu diubah namanya pada Rabu dari Motera kepada Narendra Modi.
Tempat yang boleh menampung 110,000 penonton itu adalah projek istimewa Encik Modi yang merupakan ketua menteri negeri itu sebelum menjadi perdana menteri India pada 2014.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.