Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bintang 'Shang-Chi' Simu Liu guna gambar lama untuk sindir pengkritik

Pelakon utama 'Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings', Simu Liu, baru-baru ini menyindir mereka yang tidak yakin filem Marvel yang dibintanginya itu akan mendapat sambutan hangat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bintang 'Shang-Chi' Simu Liu guna gambar lama untuk sindir pengkritik

Gambar: AP

Diterbitkan : 09 Sep 2021 07:38PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 07:44PM

Pelakon utama 'Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings', Simu Liu, baru-baru ini menyindir mereka yang tidak yakin filem Marvel yang dibintanginya itu akan mendapat sambutan hangat.

Beliau memilih cara yang mencuit hati untuk menyampaikan maksudnya itu.

Liu pada Selasa (7 Sep) memuat naik ke Twitter satu gambar lama - gambar hiasan yang biasanya digunakan bagi persembahan Powerpoint untuk menggambarkan pekerja di pejabat - yang menunjukkan tiga orang melihat sesuatu di skrin komputer riba dan ketawa.

Beliau turut menyertakan ciapan yang berbunyi: “Me laughing at the people who thought we’d flop. (Saya sedang ketawa melihat mereka yang menjangkakan kami akan gagal).”

Lebih mencuit hati lagi: Beliau merupakan salah seorang model yang dipaparkan dalam gambar-gambar itu.

Petikan skrin Twitter Simu Liu.

Petikan skrin catatan Twitter Simu Liu.

Tentunya tidak salah untuk Liu berasa bangga atas kejayaan filem itu. Shang-Chi, filem adiwira Marvel pertama yang watak utamanya adalah orang Asia, mencatatkan hasil pendapatan yang pecah panggung semasa cuti Hari Buruh di Amerika Syarikat dengan kutipan bernilai AS$90 juta dalam masa empat hari.

Ia juga merupakan hujung minggu pembukaan kedua terbaik yang dicatatkan sejak pandemik mula melanda, di belakang satu lagi filem Marvel, Black Widow.

Sebelum ini, pelakon warga Kanada berusia 32 tahun itu pernah menceritakan bagaimana beliau diupah sebanyak $120 saja untuk penggambaran gambar stok tersebut, yang kini tersebar luas.

Pada 2017 beliau memuat naik satu buku teks perakaunan yang menggunakan gambar stok dengan wajahnya di kulit buku itu. Anehnya, beliau dahulu adalah seorang akauntan.

Pada Ogos, Liu memutuskan untuk membalas di media sosial setelah CEO Disney, Bob Chapek, merujuk kepada Shang-Chi sebagai sebuah "eksperimen menarik" memandangkan ia adalah filem pertama daripada syarikat itu yang ditayangkan secara eksklusif di pawagam selama 45 hari sebelum ditawarkan kepada wadah penstriman Disney+.

Pelakon yang lantang bersuara itu menjawab, “Kami bukan eksperimen. Kami bukan pelakon pilihan; kami dipandang rendah. Kami pemecah siling. Kami adalah perayaan budaya dan kegembiraan yang akan bertahan lama setelah mengharungi tahun yang mencabar ini. Kami akan membuat kejutan."

Sumber : CNA/TQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan