Bintang K-pop umum bersara susulan dakwaan terbabit dalam skandal seks
Bintang pop Korea Selatan, Seungri, pada Isnin (11 Mac) mengumumkan bersara daripada bidang hiburan di tengah-tengah siasatan jenayah ke atasnya termasuk dakwaan pembabitan beliau dalam skandal seks.
Penyanyi K-Pop Seungri. (Gambar: Seungriseyo/Instagram)
SEOUL: Bintang pop Korea Selatan, Seungri, pada Isnin (11 Mac) mengumumkan bersara daripada bidang hiburan di tengah-tengah siasatan jenayah ke atasnya termasuk dakwaan pembabitan beliau dalam skandal seks.
Penyanyi kumpulan BIGBANG berusia 29 tahun itu dituduh melobi bakal pelabur dengan menawarkan perkhidmatan seks di beberapa kelab malam di kawasan mewah Gangnam di Seoul.
Beliau disoal siasat polis hujung minggu lalu.
“Lebih baik bagi saya bersara daripada bidang hiburan pada masa ini,"kata Seungri dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Instagram beliau.
“Saya mengambil serius siasatan ini untuk membersihkan semua dakwaan,”tambahnya.
Penyanyi itu, yang memiliki francais perniagaan restoran global, berehat daripada kerjaya hiburannya Februari lalu dan membatalkan konsert yang dijadualkan lewat bulan ini.
Beliau juga dikaitkan dengan siasatan polis ke atas kelab malam Burning Sun, yang mana beliau adalah pengarah hubungan awam, bagi penggunaan narkotik terlarang dan serangan seksual.
“Saya berdepan kritikan teruk daripada orang awam sejak sebulan setengah lalu dan disiasat oleh semua pihak berkuasa di negara ini.
“Saya dilabel sebagai ‘pengkhianat negara’ dan tidak dapat menerima hakikat saya menjejaskan orang lain demi kepentingan diri,” tambah Seungri lagi.
BIGBANG adalah antara kumpulan penyanyi lelaki paling popular Korea Selatan, menjual lebih 140 juta rekod di seluruh dunia sejak penampilan pertama mereka pada 2006.
Anggota kumpulan itu sering menarik perhatian kerana salah laku.
Penyanyi rap T.O.P menerima hukuman penjara pada 2017 yang digantung kerana menghisap ganja beberapa kali selepas dimasukkan ke hospital akibat mengambil dadah berlebihan.
Ketua kumpulan itu G-Dragon juga disiasat kerana ganja pada 2011, walaupun dibebaskan tanpa didakwa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.