Bintang Indonesia Agnez Mo dan Anggun sertai musim keempat Reacher
Musim ketiga rancangan televisyen bersiri Reacher ditayangkan pada Februari 2025, merangkul gelaran siri sambungan paling banyak ditonton di Prime Video.
Penyanyi Indonesia, Anggun (kiri) dan Agnez Mo (kanan) bakal muncul dalam musim keempat Reacher di platform Prime Video. (Gambar: Instagram/@anggun_cipta, @agnezmo)
Menyusuli kejayaan musim ketiga itu, Prime Video secara rasmi mengumumkan barisan pelakon baharu yang bakal menyertai Alan Ritchson dalam musim keempat siri utama yang dinanti-nantikan ramai itu.
Antara yang mencuri perhatian ialah penyanyi Indonesia, Agnez Mo dan Anggun.
Musim baharu siri tersebut bermula dengan pertemuan yang tidak disengajakan antara Jack Reacher dan seorang wanita asing yang kelihatan terdesak di dalam kereta api, satu pertemuan yang membawa kepada kekacauan besar. Watak Jack Reacher, yang dilakonkan oleh Alan Ritchson, terperangkap dalam permainan rumit dan berbahaya melibatkan musuh kejam dari golongan elit berkuasa.
Menurut laporan Variety, Agnez Mo akan membintangi watak Lila Hoth, seorang wanita muda dari Indonesia yang datang ke Philadelphia bersama ibunya, Amisha Hoth (lakonan Anggun), untuk mencari bapa kandung Lila yang merupakan seorang warga Amerika Syarikat.
Selain Agnez Mo dan Anggun, beberapa nama besar lain turut disahkan sebagai pelakon utama musim tersebut. Mereka termasuk Jay Baruchel sebagai Jacob Merrick, seorang anggota polis dari sebuah pekan kecil; Sydelle Noel sebagai Tamara Green, detektif dari pasukan polis Philadelphia; serta Kevin Corrigan sebagai Detektif Docherty, rakan setugas Tamara Green.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.