Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bintang 'Harry Potter' Emma Watson sokong aktivis pro-Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
Bintang 'Harry Potter' Emma Watson sokong aktivis pro-Palestin

Gambar fail para pelakon utama filem Harry Potter di tayangan perdana New York pada 11 Jul 2011 (Gambar: Stephen Lovekin/Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 04 Jan 2022 04:03PM Dikemas Kini : 04 Jan 2022 04:03PM

WASHINGTON: Pelakon British Emma Watson menyuarakan perpaduan bersama para aktivis pro-Palestin di media sosial, sehingga menimbulkan tentangan daripada para pegawai Israel dan juga pujian daripada pengguna media sosial yang pro-Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pelakon yang terkenal dengan watak "Hermione Granger" dalam filem Harry Potter pada Ahad (2 Jan) menyiarkan semula gambar "Bad Activist Collective" yang sebelum ini dimuat naik ke akaun Instagram beliau pada Mei lalu. Dalam catatan tersebut, ia memaparkan dengan jelas aktivis pro-Palestin berarak dengan perkataan "Solidarity is a verb" (perpaduan itu kata kerja).

Watson turut menyelitkan petikan daripada seorang sarjana British-Australia, Sara Ahmed, yang berkata "Perpaduan tidak bermaksud perjuangan kita adalah perjuangan yang sama, atau kesakitan yang dirasai adalah yang sama atau harapan kita adalah demi masa depan yang sama."

"Perpaduan melibatkan komitmen dan usaha, serta pengiktirafan walaupun kita tidak mempunyai perasaan yang sama, atau kehidupan yang sama, atau tubuh yang sama, tetapi kita hidup di tempat yang sama," tambah petikan itu.

Catatan Watson di akaun Instagramnya mendapat pujian meluas daripada pengguna Instagram yang menyokong Palestin, dengan beberapa orang mengucapkan terima kasih atas sokongannya dan menyiarkan emoji bendera Palestin di bahagian komen, kebanyakannya dengan tanda pagar #FreePalestine dan #PalestineWillBeFree.

Watson dilantik sebagai Duta Muhibbah Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan peranan besarnya dalam dunia pementasan.

Utusan PBB Israel, Gilad Erdan, bagaimanapun mengkritik sekeras-kerasnya hantaran Watson, membidas kenyataan bintang itu di akaun Twitter beliau dengan berkata; "Fiksyen mungkin berlaku dalam Harry Potter, tetapi ia tidak berguna dalam dunia sebenar."

Kenyataan itu disokong Utusan PBB sebelumnya, Danny Danon, yang menuduh Watson "sebagai anti-Yahudi."

Leah Greenberg, pengarah eksekutif bersama, kumpulan pejuang Indivisible Guide, menolak tuduhan Danon sambil menyatakan bahawa ia adalah "demonstrasi yang sangat jelas di mana alasan anti-Yahudi yang sinis dan jahat digunakan untuk menghalang asas solidariti dengan rakyat Palestin."

Sumber : Bernama/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa